
MUAR – Golongan belia yang bakal menjalankan tanggungjawab mengundi pada pilihan raya nanti wajar mengetahui sejarah kenegaraan dan konsep perlembagaan negara.
Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Datuk Ismail Yusop berkata, pengetahuan itu penting bagi mengelakkan golongan berkenaan membuang undi atas pengaruh media sosial semata-mata tanpa memahami kesan terhadap masa depan negara.
“Saya fikir dah tiba masanya untuk golongan belia yang diberi tanggungjawab ini (mengundi) didedahkan dengan ilmu dan sejarah kenegaraan.
“Soal siapa yang dia pilih itu hak masing-masing kerana ini negara demokrasi. Tetapi pilihan dibuat itu haruslah dengan tanggungjawab, bukan akibat pengaruh TikTok. Kita pun tak tahu maklumat yang mereka perolehi itu sahih atau tak.
“Tapi, yang perlu kita sedar, apabila kita memberikan hak kepada pengundi berusia 18 tahun, kita harus tahu bahawa ia akan melibatkan hak kenegaraan yang mana pengundi perlu melaksanakannya dengan tanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Program Ihya’ Ramadan Zon Selatan di Masjid Sulaimaniah, Parit Pinang Seribu, di sini, semalam.
Menurut Ismail, sebagai sebuah jabatan bertanggungjawab terhadap situasi politik negara, JKOM akan terus memainkan peranan dalam memberikan pemahaman kepada pengundi muda berhubung sejarah negara serta pembentukan perlembagaan.
“Kita akan bergerak ke seluruh negara melalui acara bersesuaian seperti perayaan, Hari Gawai dan seumpamanya bagi menjelaskan kepentingan sejarah negara serta konsep perlembagaan ini. Malah, JKOM juga menyediakan latihan libat urus, forum, kursus dan seminar bagi memastikan pengisian ini benar-benar sampai kepada komuniti.
“JKOM sendiri mempunyai modul latihan tentang memahami sistem negara seperti contoh apakah maksud Raja Berperlembagaan, apakah peranan perlembagaan, apa ideologi dalam rukun negara dan maksud kerangka Malaysia MADANI,” katanya
Mengambil contoh perubahan landskap politik negara yang pernah berlaku pada pilihan raya umum (PRU) lalu, katanya sudah tiba masa untuk semua pihak khususnya ibu bapa bersama-sama memainkan peranan meningkatkan kefahaman berkaitan perlembagaan negara kepada pengundi muda.
“Pada PRU lalu, negara kita telah berlaku ketidaktentuan dalam politik. Itu hak mereka untuk menyokong. Namun, yang lebih penting adalah, adakah pengundi muda ini tahu justifikasi dan neraca yang digunakan?
“Jangan hanya berpandukan TikTok sehingga memberi pengaruh kepada sentimen. Undian mereka menentukan masa depan negara, bukan seperti mengundi untuk memilih pemimpin di sekolah,” katanya.







