
KOTA KINABALU – Program Solidariti Anak-Anak Sabah bersama Palestin dilihat mampu memupuk semangat kasih sayang dan memahami penderitaan serta perjuangan Palestin dalam kalangan komuniti khususnya kanak-kanak, di Kampung Darau.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, program itu juga dapat membentuk kepekaan sosial anak-anak serta jati diri yang lebih kukuh sebagai individu yang bertanggungjawab terhadap masyarakat sekeliling.
“Dalam konteks ini, solidariti bersama Palestin bukan hanya mengenai bantuan kemanusiaan, tetapi juga satu bentuk pendidikan hati yang menanamkan empati, semangat kebersamaan, serta kesedaran terhadap nilai kemanusiaan dan keadilan global.
“Justeru, dalam kita memperjuangkan hak saudara-saudara kita di Palestin, kita juga tidak melupakan anak-anak di Sabah yang memerlukan perhatian, terutamanya dalam aspek pendidikan dan pembangunan sosial.
“Kita ingin melihat generasi muda Sabah terus maju, mempunyai akses kepada pendidikan berkualiti dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya.
Teks ucapannya dibacakan Pegawai Tugas-tugas Khas, Ahmad Farid Sainuri semasa Program Solidariti Anak-Anak Sabah Bersama Palestin dan Agihan Kempen Seorang Sekampit Beras (KSSB) di Masjid Al-Munir Kampung Darau, Manggatal, di sini pada Sabtu.
Seramai 20 asnaf menerima Sumbangan KSSB sebagai usaha membantu meringankan kehidupan seharian mereka.

Mengulas mengenai program ini, Naib Presiden Hal Ehwal Wanita, Angkatan Belia Islam Malaysia (HELWA ABIM), Dr Fatin Nur Majdina Nordin berkata, program sama juga akan diadakan di Ranau.
“Pemilihan Negeri Sabah kerana Sabah sebuah negeri yang banyak potensi, majmuk dengan pelbagai dimensi orangnya, geografinya dan sebagainya.
“Kita juga melihat anak-anak ini bukan hanya dibangunkan akalnya ataupun otaknya serta fikirannya, tapi juga ahlaknya, empatinya yang sekali gus dapat memupuk anak-anak untuk sentiasa bersyukur dengan nikmat yang dirasai.
“Dengan program ini, saya harap anak-anak kita merasa bersama-sama dengan saudara kita di Palestin yang menghadapi bulan Ramadan ini dengan suasana yang mungkin kurang daripada kita,” ujarnya.

