PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hadir ke pejabat SPRM bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan beliau.
Beliau tiba di pintu masuk pejabat SPRM pada jam 9.45 pagi menaiki kenderaan jenis Audi berwarna hitam, diiringi kenderaan peronda polis.
Beliau sempat melambaikan tangan kepada pengamal media yang berkumpul di situ sejak jam 8 pagi.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki semalam dilaporkan berkata, Ahli Parlimen Bera itu dijangka hadir ke Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya untuk memberi keterangan jam 10 pagi.
Katanya, sijil cuti sakit Ismail Sabri berakhir semalam dan beliau diminta hadir untuk dirakam percakapan susulan siasatan sedang dijalankan terhadapnya.
Ismail Sabri berdepan siasatan mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
SPRM sebelum ini dilaporkan sudah merekodkan keterangan 36 saksi bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan bekas Naib Presiden UMNO itu.
Seramai 23 lagi saksi baharu dikenal pasti dan akan dipanggil dalam masa terdekat bagi memberi keterangan.





