PUTRAJAYA – “Jadi ejen perpaduan, fokus kepada Ramadan.”
Itu mesej disampaikan Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada tiga penyampai radio Era, Nabil Ahmad, Azad Jazmin dan Radin Amir yang terpalit dengan kontroversi baru-baru ini.
Nabil berkata, ketiga-tiga mereka amat berbesar hati dengan nasihat dan harapan disampaikan Perdana Menteri itu dan bertekad merealisasikan harapan tersebut.
“Kita ucap terima kasih banyak pada Datuk Seri Perdana Menteri kerana kesudian menjemput kami bertiga dan bos kami untuk sama-sama berbuka puasa.
“Kedua, beliau juga minta kami sampaikan mesej perpaduan, perbanyakkan mesej, kita hidup dalam negara harmoni, pelbagai kaum, majmuk.
“Jadi selalu dalam percakapan, perbuatan itu pasti kena perbanyakkan mesej perpaduan, itu yang beliau cakap kepada kami,” katanya kepada Astro AWANI di Majlis Berbuka Perdana Menteri bersama Media di Kuala Lumpur, semalam.
Terdahulu Perdana Menteri yang tiba di Angkasapuri Kuala Lumpur, untuk menyerikan majlis berkenaan, dilihat meluangkan masa di meja ketiga-tiga penyampai radio itu dan berbual mesra, sambil memberi kata-kata semangat.
Majlis itu dihadiri kira-kira 500 pengamal media pelbagai agensi dalam dan luar negara.






