
KUCHING – Kadar tambang BAS.MY di Kuching diturunkan sehingga 43.65 peratus selaras dengan bandar lain di Malaysia.
Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) menerusi Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak mengumumkan keputusan ini susulan makluman positif sejak beroperasi pada 5 Mac lalu.
“Perkhidmatan tambang BAS.MY Kuching adalah berdasarkan jadual tambang Sarawak.
Selain itu, siling tambang yang lebih fleksibel di Sarawak bertujuan membantu pengendali bas untuk memastikan perkhidmatan yang mampan dengan mengambil kira cabaran tempatan.
“Menteri Pengangkutan Anthony Loke bersetuju menurunkan kadar tambang BAS.MY supaya diselaraskan bersama-sama perkhidmatan BAS.MY di bandar lain di Malaysia.
Oleh itu, perkhidmatan BAS.MY Kuching akan mengguna pakai jadual tambang baharu berkuat kuasa 11 Mac ini.
“Ini bermaksud tambang maksimum untuk laluan Q10 BAS.MY Kuching akan melihat penurunan sehingga 43.65 peratus.
Menariknya, penumpang yang kerap menggunakan perkhidmatan BAS.MY Kuching boleh mendapatkan Pas 30 Hari BAS.MY bernilai RM50.
“Ini membolehkan pengguna perkhidmatan BAS.MY Kuching dapat menikmati perkhidmatan tersebut tanpa had selama 30 hari.
Golongan kurang upaya (OKU), warga emas berusia 60 tahun ke atas, pelajar sekolah dan mahasiswa dapat menikmati tambang percuma dengan memohon Kad Konsesi BAS.MY.




