
PUTRAJAYA – Seorang pegawai tribunal yang ditugaskan bagi Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), ditemukan mati dalam Pejabat Perbendaharaan, Kementerian Kewangan, Putrajaya, pagi tadi.
Berdasarkan maklumat awal, lelaki berusia 45 tahun itu bertugas di Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum ditempatkan di JKDM, dijumpai dalam keadaan terbaring di atas lantai dengan leher dan kaki terjerut ‘cable tie’.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa ketika dihubungi Berita Harian mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 10.56 pagi tadi.
“Setakat ini, kematian itu diklasifikasikan sebagai kes kematian mengejut (SDR). Ini kerana tiada sebarang unsur jenayah ditemukan di lokasi kejadian.
“Siasatan awal polis setakat ini, si mati dipercayai menjerut leher dan kakinya sendiri.
“Bagaimanapun, semuanya bergantung pada proses bedah siasat yang akan dijalankan esok,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya turut memperoleh rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian tetapi paparan itu menunjukkan pergerakan si mati memasuki pejabat dan bukan perbuatan ketika insiden kematian.
Katanya, mayat dihantar ke Jabatan Forensik dan Patalogi, Hospital Putrajaya dan butiran lanjut mengenai kejadian itu akan diberikan dalam masa terdekat.







