
TAIPING – Kegagalan seorang lelaki dipercayai pemilik premis mengemukakan sebarang lesen atau permit bagi urusan melibatkan barang kawalan tong gas petroleum cecair (LPG), membawa kepada rampasan 96 unit tong LPG bernilai RM8, 457.60, dalam serbuan di sebuah premis di Selama, di sini pada Selasa.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, kesemua LPG itu disorok dalam sebuah stor di premis tersebut.
Ujarnya, serbuan yang dilakukan menerusi Ops Api Biru oleh penguat kuasa KPDN Perak cawangan Taiping pada jam 11.30 pagi, mendapati lelaki berusia 33 tahun gagal mengemukakan lesen atau permit bagi urusan melibatkan barang kawalan tong LPG oleh Pengawal Bekalan Malaysia, apabila diminta.
“Susulan itu, KPDN bertindak merampas kesemua 96 unit LPG itu dengan nilai sitaan RM8,457.60.
“Pemeriksaan yang dijalankan mendapati premis tersebut merupakan sebuah stor menyimpan LPG,”katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tambah Kamalludin, pemeriksaan itu juga mendapati 53 daripada 95 unit tong LPG yang disita mengandungi LPG.
Jelas beliau, kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
“Sekali lagi KPDN ingin mengingatkan mana-mana individu atau syarikat yang berkaitan supaya sentiasa mematuhi perundangan yang ditetapkan.
“KPDN akan terus melaksanakan aktiviti penguatkuasaan melalui inisiatif ‘Kita Gempur’ sebagai langkah menangani isu manipulasi aktiviti perniagaan.
“Termasuk usaha mencegah penyelewengan barang kawalan, mengekang penipuan perniagaan dalam talian (edagang), membanteras monopoli dan kewujudan kartel,”tegas beliau.



