
TUDUHAN Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bahawa Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) seolah-olah dasar ‘merampas rumah rakyat’ adalah tidak berasas serta fitnah dalam mencipta persepsi negatif terhadap Kerajaan Madani.
Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Datuk Ismail Yusop berkata, kenyataan terbabit dilihat kurang tepat serta tidak mencerminkan dasar dan peruntukan sebenar dalam akta berkenaan.
Menurutnya, tiada mana-mana pihak akan kehilangan hartanah selain pembangunan hanya boleh dilakukan sekiranya 75 hingga 80 peratus penduduk bersetuju projek terbabit dilaksanakan di kawasan kediaman mereka.
“Bagi JKOM, kami melihat ada pihak yang cuba untuk menabur fitnah bahawa Akta Pembaharuan Semula Bandar ini dengan memberikan negatif yang sangat buruk seolah-olah akta ini akta rampas rumah rakyat.
“Itu tidak benar sama sekali. Sebenarnya akta itu bertujuan untuk memastikan pemilik menerima pampasan adil dan diberikan keutamaan untuk memiliki semula hartanah baru yang lebih berkualiti. Maknanya tiada unsur-unsur apa yang disebut gentifikasi atau bahasa mudahnya pengusiran.
“Penduduk asal kekal di kawasan yang sama cuma dengan infrastruktur yang lebih baik. Justeru, pembangunan semula ini hanya akan melibatkan kawasan kawsan yang benar-benar memerlukan perubahan, antaranya, bangunan lama yang usang, tidak selamat ataupun ada kawasan yang terbengkalai.
“Ia bukan nak menguntungkan pemaju atau mana-mana pihak yang lain tetapi untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat sesuai dengan semangat Malaysia Madani,” katanya menerusi hantaran video yang dikongsi di Facebook miliknya, hari ini.

Kelmarin, Syed Saddiq di Dewan Rakyat berkata, PSB dikhuatiri menjadi pengkhianat terbesar golongan susah yang tinggal di bandar dan secara sinis meminta kerajaan menamakan semula akta berkenaan sebagai Akta Rampas Rumah.
Menurutnya, dengan adanya Akta PSB, kerajaan sekali gus menurunkan nilai ambang persetujuan daripada 100 peratus kepada 80 peratus.
Sehubungan itu, Ismail menyeru agar komuniti untuk tidak mudah terpengaruh dengan dakyah palsu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dalam memanipulasi fakta demi kepentingan peribadi.
Beliau turut meluahkan kebimbangan apabila perbuatan memanipulasi fakta, oleh mana-mana pihak, khususnya pembangkang sudah menjadi budaya dalam kehidupan masyarakat bagi menyerang kerajaan persekutuan.
“Jangan mudah terpedaya dengan dakyah-dakyah pembangkang atau pihak pihak yang memanipulasikan maklumat. Sekali lagi kami tegaskan akta itu bukan tentang merampas tetapi tentang memperbaiki kualiti hidup rakyat.
“Pada masa sama, ia dilaksana dalam nak memastikan pembangunan bandar yang lebih mampan untuk masa depan kita semua. Kebimbangan kita ialah bila ketika ini seolah-olah ada kecenderungan untuk menjadikan fitnah memanipulasi maklumat ini sebagai satu norma baharu dalam kehidupan kita harian. Kita kena hentikan semua ini,” katanya.
Sebelum ini, Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) telah bersetuju untuk menggubal Akta Pembaharuan Semula Bandar yang akan mengutamakan hak pemilik asal dan memastikan kemampanan dalam pembangunan bandar.








