PDRM Sabah cemerlang, capai KPI ditetap Bukit Aman

KOTA KINABALU – Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berpuas hati dengan pencapaian Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah pada tahun 2024 apabila semua Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan oleh Bukit Aman berjaya dicapai dengan cemerlang.

Jauteh menzahirkan rasa bangganya ketika berucap menyempurnakan Majlis Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sabah bagi Februari 2025 di Dataran Kawad, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini pada Jumaat.

Menurutnya, perhimpunan bulanan menjadi platform penting untuk menyampaikan amanat, arahan dan perkembangan terkini dari pucuk pimpinan PDRM kepada seluruh warga Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

Beliau mengingatkan anggota PDRM Sabah agar berkhidmat dengan penuh integriti, cekap dan prihatin agar perkhidmatan terbaik dapat disampaikan kepada masyarakat.

“Melaksanakan tugas dengan cemerlang demi meningkatkan imej dan kepercayaan awam.

“Menjiwai tugasan dengan penuh dedikasi dan memberikan layanan terbaik kepada masyarakat.

“Menekankan kepentingan menjalankan tanggungjawab dengan profesionalisme dan komitmen tinggi, seiring dengan amanah yang dipikul sebagai penjawat awam,” katanya.

Dalam pada itu, Jauteh turut menyampaikan Sijil Pengiktirafan Pusat Tanggungjawab (PTJ) Terbaik Pengurusan Perakaunan Tahun 2024 daripada Kementerian Dalam Negeri kepada empat Ketua Polis Daerah, iaitu Kota Kinabalu, Kota Belud, Tenom dan Kudat.

“Sijil Penghargaan Pesuruhjaya Polis Sabah turut diberikan kepada anggota PDRM yang menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang tahun lalu,” katanya.

Mengulas lanjut, Jabatan Siasatan Jenayah Sabah merekodkan peningkatan 3.52 peratus dalam jenayah indeks, dengan 4,269 kes sepanjang tahun 2024 berbanding 4,124 kes pada 2023.

“Walaupun terdapat peningkatan kes, kadar penyelesaian kes jenayah indeks mencapai 81.94 peratus (3,498 kes), meletakkan Sabah di kedudukan ketiga tertinggi di Malaysia.

“Sabah juga mencatat kadar pertuduhan tertinggi di Malaysia, dengan 6,129 kes bersamaan 60.05 peratus.

“Bagi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, kes di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 meningkat sebanyak 14.5 peratus, dengan 16,831 kes dilaporkan pada 2024 berbanding 14,713 kes pada 2023.

“Jumlah tangkapan juga meningkat 12.8 peratus kepada 17,486 orang,” katanya.

Menurutnya, pertuduhan kes bekalan dan pemilikan dadah serta Akta Racun mencatat pencapaian 93.34 peratus.

“Sabah turut merekodkan nilai rampasan dadah sebanyak RM6.98 juta pada 2024, meningkat sedikit berbanding RM6.96 juta pada 2023.

“Jabatan Siasatan Jenayah Komersial pula membuka 2,733 kertas siasatan pada 2024, meningkat 10.5 peratus berbanding 2,474 kes pada tahun sebelumnya.

“Kadar pertuduhan mencapai 39.88 peratus, melebihi KPI yang ditetapkan iaitu 35 peratus,” katanya.

Manakala bagi aspek keselamatan jalan raya, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sabah mencatatkan 20,828 kes kemalangan pada 2024, meningkat 5.7 peratus berbanding 19,621 kes pada 2023.

“Sebanyak 201,093 saman dikeluarkan, dengan kadar penyelesaian saman melebihi KPI sebanyak 5 peratus, mencapai 32.99 peratus.

“JSPT Sabah turut dinobatkan sebagai kontinjen terbaik Malaysia dalam penyelesaian kertas siasatan trafik dengan kadar penyelesaian 97.94 peratus, mengatasi KPI 90 peratus.

“Pegawai JSPT Kontinjen Sabah, Penolong Superintenden Polis (ASP) Jenuil Yasap, turut menerima pengiktirafan sebagai Pegawai Terbaik Malaysia dalam pencapaian Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik,” ujar beliau.

Related Posts

Tabung Kasih@HAWANA santuni waris tokoh wartawan Sarawak, mendiang James Alexander Ritchie

KUCHING – Kementerian Komunikasi menerusi inisiatif Tabung Kasih@HAWANA X TM terus menghargai jasa para pengamal media dengan menyantuni waris tokoh wartawan veteran Sarawak, mendiang James Alexander Ritchie di kediamannya pada…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Capaian internet BCCK ditingkatkan kepada 2 Gbps sempena Hari Malaysia 2026

KUCHING – Kementerian Komunikasi memberi jaminan bahawa kelancaran capaian internet di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) berada pada tahap optimum bagi menampung keperluan sekitar 5,000 tetamu sempena malam kemuncak Sambutan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Tabung Kasih@HAWANA santuni waris tokoh wartawan Sarawak, mendiang James Alexander Ritchie

Tabung Kasih@HAWANA santuni waris tokoh wartawan Sarawak, mendiang James Alexander Ritchie

MCMC pantau media sosial secara berterusan, kerjasama rapat dengan PDRM

MCMC pantau media sosial secara berterusan, kerjasama rapat dengan PDRM

Capaian internet BCCK ditingkatkan kepada 2 Gbps sempena Hari Malaysia 2026

Capaian internet BCCK ditingkatkan kepada 2 Gbps sempena Hari Malaysia 2026

Penggiat seni meriahkan Kuantan Flash Mob sempena Hari Malaysia

Penggiat seni meriahkan Kuantan Flash Mob sempena Hari Malaysia

Kenaikan bil elektrik: Kerajaan teliti langkah mitigasi esok

Kenaikan bil elektrik: Kerajaan teliti langkah mitigasi esok

Malaysia sedia RM5 juta untuk pembenihan awan, tawar bantuan logistik kepada Indonesia

Malaysia sedia RM5 juta untuk pembenihan awan, tawar bantuan logistik kepada Indonesia