SEPASANG suami isteri maut selepas motosikal dinaikinya tidak sempat mengelak kereta hilang kawalan di Kilometer 17 Jalan Kuala Pilah-Simpang Pertang, dekat Jempol, Negeri Sembilan, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, dalam kejadian jam 2.60 petang itu, pasangan terbabit meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku selepas kereta jenis Perodua Axia dipandu lelaki berusia 31 tahun dari arah Simpang Pertang hilang kawalan ketika melalui selekoh.
“Setiba di lokasi kejadian, kereta dipercayai hilang kawalan dan berpusing secara melintang masuk ke laluan bertentangan.
“Pada masa sama, motosikal dinaiki mangsa berusia 28 tahun serta isteri, 40 tahun, dari arah bertentangan tidak sempat mengelak dan melanggar bahagian sisi kiri kereta tersebut,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau berkata, pemandu kereta tidak mengalami kecederaan dalam kemalangan itu.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau berbahaya.


