
KOTA KINABALU – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyalurkan pembiayaan sebanyak RM813.4 juta kepada 53,395 usahawan dan koperasi di Sabah sepanjang 2024.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, KUSKOP melalui agensi-agensi di bawahnya telah melaksanakan pelbagai inisiatif dan intervensi bagi membantu memecut momentum kejayaan yang berterusan untuk melonjakkan prestasi usahawan dan koperasi.
“Bagi Sabah, pembiayaan itu disalurkan KUSKOP melalui agensi-agensi seperti Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Tekun Nasional, Bank Rakyat, SME Bank, SME Corp, Pernas dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
“Selain itu, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) juga melaksanakan 41 program latihan dan bimbingan keusahawanan di Sabah pada tahun 2024 yang memberi manfaat kepada seramai 1,585 usahawan.
“Dalam usaha menoktahkan kemiskinan di Sabah juga, program khas Ehsan@KUSKOP sedang digerakkan untuk menyediakan bantuan pendidikan kepada pelajar sekolah dalam kalangan eKasih terutama di daerah Kota Belud, Kota Marudu dan Kudat,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Media, di sebuah hotel di Kota Kinabalu, pada Isnin.
Dalam pada itu, Ewon juga mahu agar Sabah dan Sarawak diberikan fokus tambahan dalam usaha memajukan kedua-dua negeri berkenaan kerana pembangunan yang membawa kepada aktiviti ekonomi dan keusahawanan masih ketinggalan.
“Kita masih perlu mengejar berbanding dengan beberapa negeri lain, kita banyak ketinggalan dan masih ada lebih 400 projek lewat serta projek sakit yang belum bermula.
“Sebab itu kita perlu fokus tambahan, contohnya dari segi akses kepada pasaran memang kita dekat dengan beberapa negara, itu peluang besar, tapi kita perlu meningkatkan kualiti produk Sabah, produktiviti, ‘Marketing’ dan pembiayaan serta sebagainya.
“Ini semua memerlukan fokus tambahan kita di Sabah yang akan menjadi satu dasar Pandang Ke Timur Negara iaitu KUSKOP,” ujarnya.
Tambahnya, KUSKOP bersama agensi-agensinya ingin membantu komuniti PKMS serta koperasi di Sabah dan Sarawak untuk bersaing dengan usahawan lain di Semenanjung.
Antara inisiatif baharu yang diperkenalkan khususnya untuk usahawan PMKS di Sabah ialah Projek Premis Tamu Desa, Skim Pembiayaan Usahawan Tamu dan Geran Usahawan Bumiputera Sabah dan Sarawak di bawah Program Peningkatan Enterprise Bumiputera (BEEP) PLUS.
Dalam Majlis itu, Ewon turut meyampaikan penghargaannya kepada para media yang banyak membantu dari segi liputan dan berharap media menjadi medium berkongsi pencapaian para usahawan PMKS dan Koperasi negara.
“Ini penting agar boleh menjadi inspirasi dan motivasi kepada rakyat Sabah untuk menceburkan diri dalam sektor keusahawanan dan koperasi,” tambahnya.



