
KUALA PERLIS – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) terus melindungi khazanah alam dengan membanteras kegiatan menangguk siput secara haram di perairan negeri ini.
Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Mohd. Hashim Mat Zain berkata, pada pagi semalam, pihaknya berjaya menahan sebuah vesel nelayan tempatan yang menjalankan aktiviti penangkapan hasil laut secara haram.
“Dalam kejadian itu, sebuah vesel tanpa nombor pendaftaran dikesan kira-kira 0.7 batu nautika dari pesisir pantai ketika sedang leka menangkap siput menggunakan sangkar besi.
“Hasil pemeriksaan mendapati vesel itu dikendalikan oleh seorang tekong dan seorang awak-awak, kedua-duanya warga tempatan berusia 26 dan 36 tahun,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tambahnya, walaupun pihak berkuasa telah memberi amaran serta kerap melakukan rondaan, masih ada pihak yang berdegil.
Menurut Mohd Hashim, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mereka yang melanggar undang-undang.
“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen dan Seksyen 11(3)(c) akta sama kerana memasang peralatan menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
“Jika disabit kesalahan, mereka boleh dikenakan tindakan tegas termasuk denda atau hukuman lebih berat,” jelasnya.
Maritim Malaysia turut mengingatkan semua pengusaha perikanan supaya mematuhi peraturan demi kelestarian ekosistem marin dan mengelakkan tindakan undang-undang.



