DALAM satu program di ibu negara pada 3 Februari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan akan berlaku kenaikan tarif elektrik menjelang pertengahan tahun ini.
Maka, dengan pantasnya respons balas Anwar itu disebarkan oleh pihak tertentu – terutamanya pembangkang – yang menggambarkan bahawa keputusan menaikkan tarif elektrik adalah sesuatu yang tidak perlu dibuat ketika ini serta bakal membebankan rakyat.
Namun, yang menjadi tular dalam konteks pengumuman dibuat Perdana Menteri tempoh hari, hanyalah sebahagian daripada keseluruhan jawapan diberikan oleh Anwar selepas ditanya Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), Ng Yih Pyng.
Hakikat sebenar adalah, kenaikan tarif elektrik seperti diumumkan dalam majlis terbabit hanyalah membabitkan sektor industri.
Penggunaan elektrik dalam kalangan rakyat tidak mempunyai kaitan dengan keperluan untuk menaikkan tarif itu.
Dan Perdana Menteri sudah menjelaskan bahawa sebanyak 85 peratus pemegang akaun domestik iaitu sekitar 7.5 juta orang tidak akan terjejas dengan sebarang perubahan kadar tarif elektrik dan masih dilindungi kerajaan sehingga Jun 2025.
Anwar menjelaskan secara teliti dan lengkap dalam sidang Dewan Rakyat kelmarin.
![]()
Tapi, macam biasalah, pembangkang tetap berlakon seolah-olah dalam keadaan ‘bodoh’ dan tidak faham dengan penjelasan dibuat Perdana Menteri.
Sama ada mereka (pembangkang) itu benar-benar tidak faham atau malas untuk menggunakan otak – selepas mendengar penerangan dibuat Anwar – atau memang dalam kepala mereka sudah tidak boleh berfikir, perkara itu terus menjadi ‘misteri’.
Secara umumnya, kerajaan sedang memuktamadkan cadangan jadual tarif baharu dan kos pembekalan elektrik sebenar yang lebih kompetitif menjelang Julai 2025.
Bahkan, setiap enam bulan memang dikaji mekanisme Pelepasan Kos Tidak Berimbang dan daripada situ, pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) lihat jika ada rebat atau surcaj.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air sebelum ini dilaporkan berkata, lebih RM2.3 juta subsidi elektrik bagi tempoh Januari hingga Jun 2025 akan dibiayai kerajaan.
Tambah Kementerian itu lagi, penetapan kadar purata tarif asas elektrik di Semenanjung bagi TNB di bawah Rolling Plan 4 akan bermula 1 Januari tahun depan hingga 31 Disember 2027.
Di sebalik segala penjelasan diberikan pihak Kerajaan Perpaduan, permainan persepsi negatif oleh pihak tertentu akan terus berlangsung dengan dahsyat dan menakutkan.
Sudah pasti tugas melawan salah faham ini bukan mudah, lainlah kalau dalam pemikiran hanya mahu berbalah.
Lawanlah fakta dengan hujah, bukan menabur fitnah disusuli segala jenis tohmah.






