
PUTRAJAYA – Bantuan Khas Kewangan (BKK 2025) sebanyak RM500 kepada bagi penjawat awam gred 15 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak, personel MySTEP, guru interim dan pemandu, akan mula dibayar bermula 25 Februari ini.
Menerusi surat edaran yang bertarikh 27 Januari yang ditandatangani oleh Tan Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, pesara kerajaan, veteran berpencen dan veteran tidak berpencen juga layak menerima bantuan sebanyak RM250 pada tarikh yang sama.
Bantuan bernilai RM500 layak diberikan kepada pegawai perkhidmatan kumpulan pengurusan, profesional dan kumpulan pelaksana dengan Gred 15 dan ke bawah atau setara termasuk pegawai lantikan tetap, sementara dan lantikan kontrak, pegawai yang bercuti gaji penuh, separuh gaji dan tanpa gaji serta pegawai yang dipinjamkan termasuk ke agensi yang diasingkan saraannya.
Seterusnya syarat layak bantuan bagi personel MySTEP, guru interim, dan pemandu yang dilantik sendiri oleh pegawai atasan pula perlu masih berada dalam perkhidmatan sehingga tarikh pembayaran.
Edaran itu turut menyatakan, bagi pesara kerajaan dan veteran yang dilantik semula dan masih berkhidmat, layak dibayar RM500, di mana RM250 akan dibuat Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) atau Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), manakala baki dibayar oleh jabatan di mana pegawai terbabit berkhidmat.
Manakala pegawai yang meninggal dunia pada 25 Februari 2025 juga layak diberikan BKK sebanyak RM500, malah bantuan ini juga dikecualikan daripada dikenakan cukai pendapatan.
Sementara itu, BKK tidak layak diberikan kepada pegawai dalam kumpulan pengurusan tertinggi, pegawai dikenakan hukuman tata tertib buang kerja atau turun pangkat dan pegawai yang meletak jawatan dalam tempoh 1 Januari hingga 25 Februari.
Larangan daripada menerima BKK 2025 itu turut termaktub kepada pegawai yang ditahan kerja, gantung kerja atau telah menerima surat petuduhan dikeluarkan Pihak Berkuasa Tata Tertib di mana mereka akan ditangguhkan pemberian BKK sehingga dibebaskan pertuduhan.







