
‘NEGARA sendiri tidak terjaga, inikan pula nak jaga negara orang (lain)’, ‘rakyat di Sabah dan Sarawak masih ramai menderita tiada kemudahan hospital, sekolah’.
Itulah antara suara-suara sumbang, reaksi rakyat Malaysia setelah pengumuman Perdana Menteri untuk membina sebuah sekolah, hospital dan masjid di Gaza dalam usaha pembangunan semula Gaza.
Pengumuman Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyegerakan pembinaan semula Gaza yang teraniaya akibat serangan kejam rejim Israel di samping gencatan senjata yang sepatutnya disambung baik namun dijadikan modal untuk mengecam kerajaan yang kononnya lebih mengutamakan rakyat Palestin sehingga mengabaikan rakyat di negara sendiri yang didakwa masih ketinggalan dalam soal pendidikan dan kesihatan.
Harus difahami, kerajaan hanya mahu bina sebuah sekolah, hospital dan masjid untuk membangkitkan semula semangat warga Palestin yang ditindas lebih 400 hari di negara sendiri, bukannya mahu bina berpuluh-puluh kemudahan di Palestin sehingga menganaktirikan rakyat sendiri.
Kerajaan sentiasa ambil peduli tentang kesusahan yang dialami oleh rakyat Malaysia terutama mereka yang tinggal di kawasan pedalaman dan Sabah serta Sarawak, namun pembinaan kemudahan seperti sekolah, hospital dan masjid adalah bagi memanfaatkan tempoh masa gencatan senjata yang seharusnya disusuli segera dengan pembangunan semula kota Gaza sekaligus memberi sedikit kelegaan buat warga Palestin yang ditindas rejim zionis.
Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa usaha tersebut akan direalisasikan dengan menggembleng sinergi dan kerjasama semua pihak termasuk syarikat berkaitan kerajaan, badan bukan kerajaan, swasta, perniagaan, korporat dan seluruh rakyat dan yang paling penting tidak menggunakan duit kerajaan semata-mata.
Malaysia tidak pernah menganaktirikan atau menggadaikan pendidikan rakyatnya sendiri, buktinya sepanjang tahun 2024 hingga 2025, sebanyak 70 buah sekolah baharu telah diluluskan pembinaannya iaitu 26 buah pada 2024, dan 44 buah sekolah pada 2025, dan tambahan 34 prasekolah baharu turut akan dibina, malah jumlah tersebut adalah tertinggi selama lima tahun ke belakang.
Selain itu, dalam Belanjawan 2025, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerima peruntukan terbesar berjumlah RM64.1 bilion, di mana RM1 bilion disediakan bagi menaik taraf dan menyelenggara semua jenis sekolah seluruh negara, manakala, RM1 bilion lagi diperuntukkan untuk menaik taraf prasarana daif di 543 buah sekolah terutamanya di Sabah dan Sarawak.
Tambahan pula, sebanyak RM100 juta diperuntukkan untuk membaik pulih kemudahan seperti kantin dan musolla, lebih RM1.8 bilion pula disediakan bagi membina, menyelenggara dan membaik pulih semua kuarters penjawat awam termasuk guru.
Seterusnya, rakyat Malaysia juga tidak sepatutnya mempersoalkan pembinaan masjid di Gaza kerana kerajaan juga tidak pernah mengetepikan soal pembangunan agama Islam di Malaysia, buktinya dalam Belanjawan 2025, sebanyak RM2 bilion diperuntukkan bagi memperkasa institusi pendidikan Islam, pengimarahan masjid dan memperkukuh kedudukan Malaysia dalam industri halal sebagai peneraju halal global.
Sebelum ini, Malaysia juga, melalui pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) dan sumbangan orang ramai telah membina beberapa masjid di Palestin, khususnya di Gaza seperti Masjid Muhammad Al-Amin pada 2013 oleh Muslim Care Malaysia Society (MCM) di Khan Younis, selatan Gaza, Masjid Imam Shafie oleh Aman Palestin dengan kerjasama Kementerian Wakaf Gaza, pada 2019 dan Masjid Umar Abdul Aziz yang merupakan masjid kelapan dibina oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) di Palestin.
Usaha-usaha ini mencerminkan sokongan padu rakyat Malaysia terhadap saudara-saudara seIslam di Palestin, khususnya dalam menyediakan kemudahan ibadah dan pusat komuniti bagi masyarakat setempat.
Semua juga sedia maklum bahawa kesan daripada peperangan yang berterusan, hampir 90 peratus hospital di Gaza musnah dibom rejim Israel, malah hanya 10 daripada 36 buah keseluruhan hospital yang ada Gaza terpaksa beroperasi dalam kapasiti yang terhad selain diancam dengan risiko kekurangan bekalan perubatan, bahan api, dan sumber manusia yang kritikal.
Jika mahu dibuat perbandingan, rakyat Malaysia sudah pastinya lebih beruntung, walaupun masih ada kelemahan dalam sistem kesihatan Malaysia namun kerajaan dari semasa ke semasa tidak pernah berhenti berusaha untuk menyempurnakannya, di mana dengan RM45.27 bilion, peruntukan kedua terbesar dalam Belanjawan 2025 bagi Kementerian Kesihatan Malaysia memfokuskan kepada menaik taraf sistem kesihatan di Malaysia termasuk menaik taraf infrastruktur kesihatan, pengendalian penyakit dan lain-lain lagi.
Jadi tidak salah untuk berkongsi pada mereka yang tiada berbanding kita rakyat Malaysia yang hidup dalam limpahan rahmat negara yang aman, sudah semestinya rakyat Malaysia jangan sesekali lupa bahawa kita asalnya bangsa yang pemurah dan kaya budi bahasa.







