JAWATANKUASA Pengurusan Bencana Negara sudah mengarahkan mobilisasi aset ke 13 kawasan merekodkan taburan hujan tinggi hingga mengakibatkan banjir di Sarawak, termasuk bagi pembinaan jambatan sementara atau jambatan Bailey.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, koordinasi dilakukan bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk pembinaan jambatan berkenaan dalam tempoh 72 jam, selain koordinasi antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri dalam menguruskan banjir kali ini disifatkan baik.
“Dari segi kesiapsiagaan aset, semua itu memang kita sudah siap siaga termasuk aset-asetnya (bagi membaik pulih) mana-mana jambatan yang runtuh dan sebagainya, untuk langkah segera termasuk untuk adakan jambatan Bailey.
“Kita sudah koordinasikan dengan Kor Jurutera ATM serta pihak JKR untuk membina jambatan Bailey dalam tempoh 72 jam selepas kajian terperinci mengenai kesesuaian muka bumi dibuat,” katanya selepas menghadiri program di Bagan Datuk, Perak, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara memaklumkan, setakat tengah hari tadi terdapat 8,785 mangsa banjir di Sabah serta Sarawak, dengan 5,235 mangsa adalah di Sarawak, membabitkan sebanyak 50 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.
Beliau berkata, terdapat 13 stesen meteorologi utama merekodkan taburan hujan melebihi 20.0 mm harian di Sarawak, yang mana kadar itu melebihi daripada purata hujan bulanan.








