
KUDAT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat berjaya mematahkan cubaan menyeludup lebih kurang 12 tong dram biru berisi bahan api petrol ke negara jiran di sini pada Sabtu.
Pengarahnya, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, hasil maklumat risikan, bot ronda Maritim Malaysia sedang menjalankan rondaan OP SEJAHTERA, OP TIRIS, OP PLUTO TIMUR, dan OP CEGAH PATI.
“Rondaan OP telah digerakkan ke lokasi dan berjaya mengesan sebuah bot pump yang bergerak dalam keadaan mencurigakan kira-kira 1.5 batu nautika di Barat Laut Pulau Langdayang, Pitas, pada pukul 3 pagi hari kejadian.
“Semasa bot ronda cuba menghampiri untuk menjalankan pemeriksaan, dua orang suspek bertindak terjun ke laut dalam usaha melarikan diri.
“Namun, seorang suspek berjaya ditahan semula, manakala seorang lagi meloloskan diri ke kawasan daratan berhampiran,” katanya dalam kenyataan media di sini pada Ahad.
Tambahnya, suspek yang ditahan itu berumur 34 tahun dan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Suspek bersama bot dan kargo telah diiringi ke Jeti Marina Kudat sebelum diserahkan kepada Pegawai Siasatan Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
“Nilai keseluruhan rampasan bernilai lebih kurang RM20,000.
“Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya.
Sehubungan itu, Zon Maritim Kudat menyeru komuniti maritim di kawasan Kudat, Kota Marudu dan Pitas agar melaporkan sebarang aktiviti jenayah di laut kepada Pusat Operasi Zon Maritim Kudat di talian 088-611858 atau talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam.






