DATUK Seri Anwar Ibrahim kekal dengan pendirian Malaysia dan ASEAN seharusnya berkecuali serta tidak masuk campur dalam masalah membabitkan negara lain.
Perdana Menteri berkata, ASEAN perlu berusaha untuk terus menarik pelaburan bukan saja dari Amerika Syarikat (AS) dan Eropah malah dengan jiran terdekat seperti China, India dan Australia.
“Malaysia sebagai sebuah negara perdagangan dan begitu juga rantau ASEAN, perlu terbabit secara lebih agressif dengan pelaburan dari AS dan Eropah.
“China menjadi jiran yang penting, malah kita harus terus berbuat demikian bersama Australia, India dan negara-negara lain.
“Disebabkan ini, saya merasakan ASEAN adalah wilayah berpusat yang mampu terbabit secara dekat dengan mana-mana negara dan masalah yang bukan masalah kita, tidak sepatutnya menekan kita atau berpihak kepada sesiapa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi Pleno ASEAN bertajuk “Even Stronger Together”, mengenai keutamaan Kepimpinan ASEAN-Malaysia 2025 dan peranan penting ASEAN dalam membentuk landskap ekonomi.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, ASEAN mengamalkan dasar yang memberi kebaikan kepada semua negara anggota dalam usaha memastikan keamanan berlanjutan.
“Kita bukan sebuah wilayah yang bersaing sesama sendriri tetapi mengutamakan perkara yang inklusif dan mampan yang memberi manfaat antara satu sama lain,” katanya.




