KUCHING – Penggunaan teknologi baharu, terutama kecerdasan buatan atau AI harus diberi keutamaan oleh semua lapisan pertadbiran termasuk pertadbiran mahkamah syariah.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengutarakan perkara berkenaan dalam ucapannya pada Majlis Makan Malam Bersempena Dengan Pembukaan Tahun Perundangan Syariah Sarawak 2025 yang diadakan di Hotel Riverside Majestic pada Selasa.
Menurut beliau, sebelum kewujudan sistem digital (Sistem I-Syariah) di mahkamah syariah, Sarawak mempelopori penggunaan sistem digital apabila aplikasi yang dibangunkan negeri itu untuk mahkamah sivil mula digunakan di seluruh Malaysia.
“Hakim Besar Sabah dan Sarawak pada ketika itu, Tun Datuk Seri Panglima Richard Malanjum memohon kerjasama Sarawak dalam mewujudkan aplikasi bagi digunakan oleh mahkamah sivil.
“Sistem digital aplikasi yang dibangunkan Sarawak kini sudah digunakan oleh mahkamah sivil di seluruh negara,” jelas beliau.
Sementara itu Abang Johari turut berkata, kerajaan Sarawak akan terus mempertahan serta memperkasa Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak, institusi perundangan dan kehakiman syariah yang berperanan mendukung syariah Islam.
“Sarawak komited dalam menyokong usaha yang boleh menyumbang ke arah
meninggikan martabat institusi perundangan dan kehakiman syariah di negeri ini.
“Usaha tersebut termasuk penambahbaikan secara berterusan terhadap bidang kuasa mahkamah syariah, perjawatan hakim-hakim syarie dan profesionalisme, pegawai-pegawai mahkamah dari semasa ke semasa.
Beliau percaya penambahbaikan secara berterusan akan dapat melonjakkan imej institusi perundangan dan kehakiman syariah dalam menangani kes yang semakin kompleks dan mencabar serta memenuhi keperluan masyarakat Islam secara keseluruhannya.
Ujar beliau, pengamal undang-undang syariah memikul tugas yang berat dalam
menegakkan hukum berdasarkan syariat Islam dan menyeru agar tugas yang diamanahkan ditunaikan dengan penuh sabar, ikhlas dan berintegriti.
“Saya percaya usaha yang diadakan sangat penting untuk menambah
kemahiran pegawai bagi menjayakan inisiatif ini.
Beliau juga berharap agar Jabatan Kehakiman terus mencari inisiatif baru bagi meningkatkan tatakelola, penyampaian perkhidmatan dalam pelbagai aspek khususnya berkaitan dengan bidang kehakiman dan perundangan agar selari dengan dasar kerajaan ke arah e-Kerajaan.







