
ARAU – Tindakan tegas JPJ Perlis menerusi Ops Tunggak membuahkan hasil apabila sebanyak RM122,000 berjaya dikutip daripada saman tertunggak kenderaan Thailand, selain penguatkuasaan terhadap lori bermuatan berlebihan yang mengancam keselamatan pengguna jalan raya.
Pengarah JPJ Perlis, Noraini Mohd Nawi berkata, kutipan itu melibatkan 54 kenderaan dari Thailand sejak Oktober tahun lalu sehingga semalam.
“Sekiranya mereka gagal melunaskan saman, kenderaan akan disita dan tidak dibenarkan keluar sehingga bayaran dibuat.
“Justeru, kita turut menyediakan perkhidmatan Mobile JPJ bagi memudahkan mereka membuat pembayaran saman secara terus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Operasi Khas Tahun Baharu Cina 2025 di KM26 Jalan Kuala Perlis-Changlun, semalam.
Ops Tunggak dilaksanakan di empat negeri bersempadan dengan Thailand iaitu Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan.
Sementara itu, JPJ Perlis turut mengesan lori mengangkut dolomit yang membawa muatan berlebihan sehingga membahayakan pengguna jalan raya.
“Sebagai contoh, dalam operasi hari ini, dua daripada tiga lori diperiksa didapati membawa dolomit melebihi had berat yang dibenarkan.
“Tindakan ini berbahaya kerana serpihan batu boleh jatuh ke atas jalan atau terkena kenderaan lain,” katanya.
Menurutnya, dua lori dikenakan tindakan di bawah Peraturan 89 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 170/59, manakala sebuah van pelancong Thailand turut ditahan kerana gagal mematuhi syarat Permit Peredaran Antarabangsa dengan jumlah denda RM2,100.


