
TAWAU – Seorang lelaki cedera parah tersepit sementara tiga wanita cedera selepas kenderaan dinaiki terbabas di Jalan Mawar Kampung Jawa, pagi Ahad.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ushin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pukul 4.47 pagi.
Katanya, sepasukan lapan anggota bersama jentera kemudian bergegas ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, bomba mengeluarkan mangsa cedera parah berkenaan yang tersepit di tempat duduk pemandu menggunakan peralatan khas.
“Sementara tiga mangsa cedera sebelumnya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media pada Ahad.
Menurut Jemishin, rawatan awal juga diberi pihaknya sebelum menghantar mangsa ke Hospital Tawau dan menamatkan operasi selepas itu pada pukul 5.23 pagi.




