
LAHAD DATU – Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang diperuntukkan Kerajaan Madani dilihat mampu memberi kelegaan kepada ibu bapa yang akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk perbelanjaan sekolah anak.
Bagi seorang suri rumah, Norlija Umar, 32, bantuan disalurkan Kerajaan Madani itu banyak meringankan tanggungan kos persekolahan anaknya kerana disalurkan awal tahun.
“Syukur alhamdulillah banyak membantu untuk membeli barangan keperluan memasuki sesi persekolahan akan datang terutama yuran sekolah sebab macam anak saya yang pertama baru mahu masuk Tingkatan Satu, jadi kos yuran ni agak mahal sikit.
“Sebelum ini BAP tu saya gunakan juga untuk beli pakaian unit beruniform pengakap untuk anak saya selain kasut sukan,” katanya kepada wartawan The Malaysia Press.
Dalam pada itu, Norlija turut menzahirkan setinggi penghargaan terima kasih kepada kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepekaan dan keprihatinan terhadap kos dan perbelanjaan ibu bapa memandangkan selain sesi persekolahan bermula, rakyat turut berdepan bulan Ramadan dan Syawal.
Sementara itu, Aisyah Fahri, 32, juga senada berikutan bantuan bernilai RM150 seorang murid itu sangat membantu golongan berpendapatan rendah.
“Memang sangat-sangatlah membantu kerana sebagai ibu bapa juga penjaga yang kurang berpendapatan bantuan itu boleh dimanfaatkan sebaiknya sama ada dari segi pembayaran yuran sekolah mahupun perbelanjaan barangan sekolah seperti buku-buku, peralatan tulis dan lain-lain.
“Harapan saya, semoga pihak kerajaan teruskan BAP sebagai satu cara membantu untuk meringankan lagi kos perbelanjaan ibu bapa khususnya yang mempunyai bilangan anak ramai,” ujarnya.
Terdahulu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan memaklumkan akan membuat agihan BAP sebanyak RM150 untuk setiap murid Tahun Satu hingga Tingkatan Empat bagi sesi persekolahan 2024/2025, bermula Isnin ini.
Selain itu, agihan BAP sebanyak RM150 untuk pelajar Tingkatan Enam semester dua dan murid Tahun Satu sesi persekolahan 2025/2026 pula akan dilaksanakan mulai 16 Februari manakala agihan kepada pelajar Tingkatan Enam baharu akan bermula 1 Julai.
Difahamkan, sebanyak RM791.25 juta khusus untuk bayaran BAP sebanyak RM150 kepada setiap murid secara sekali bayar akan memberi manfaat kepada lebih 5.2 juta orang murid selain julung kali turut diperluaskan kepada pelajar Tingkatan Enam.





