
GAZA – Hampir 1,000 masjid telah rosak akibat serangan Israel di Semenanjung Gaza tahun lalu, menurut pihak berkuasa Palestin pada Ahad.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Awqaf dan Hal Ehwal Agama berkata, 815 tempat ibadah umat Islam telah musnah sepenuhnya, manakala 151 lagi mengalami kerosakan sebahagian, lapor Anadolu.
Kementerian itu juga melaporkan bahawa 19 tanah perkuburan dan tiga gereja turut dimusnahkan dalam perang genosida Israel ke atas Gaza sepanjang tahun 2024.
Di Tebing Barat yang diduduki, kementerian merekodkan 256 pencerobohan oleh pendatang haram ke dalam Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur sepanjang tahun lalu.
Menurut kementerian itu, kira-kira 2,567 pendatang haram memaksa masuk ke kompleks masjid tersebut untuk meraikan perayaan Hanukkah, yang berlangsung selama seminggu dari 25 Disember hingga 2 Januari.
Kementerian turut merekodkan serangan Israel terhadap 20 masjid di Tebing Barat yang diduduki.
Ketegangan terus memuncak di seluruh wilayah Palestin yang diduduki akibat perang genosid Israel ke atas Semenanjung Gaza, yang telah meragut lebih 45,800 nyawa, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, sejak 7 Oktober 2023.







