
PUTRAJAYA – Kerajaan Madani akan terus bekerja untuk membina masa depan Malaysia lebih terangkum dan gemilang, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, kerajaan telah merangka usaha untuk memastikan tidak ada rakyat dipinggirkan dan bagi memastikan kesejahteraan rakyat sebagai tunjang dalam setiap inisiatif yang dilaksanakan.
“Alhamdulillah, kerajaan merangka usaha yang jitu untuk memastikan tidak ada rakyat yang dipinggirkan, sama ada orang miskin, anak muda, wanita, warga emas, petani, nelayan, pelajar, kota dan desa.
“Setiap langkah diambil dengan matlamat membina kehidupan rakyat yang lebih bermakna dan bermaruah,” katanya melalui kenyataan di laman sosial.
Kerajaan Madani genap dua tahun pentadbirannya pada 24 November lalu.
Sementara itu, melalui video dipaparkan, Perdana Menteri turut menekankan kepentingan mewujudkan ekosistem yang mantap dan lestari serta urus tadbir yang cekap bagi menguruskan kekayaan sumber alam secara adil dan saksama, seperti termaktub dalam al-Quran.
Video berdurasi enam minit 21 saat itu juga turut ‘mengimbau’ bantuan diumumkan kerajaan dalam pelbagai aspek termasuk aspek peningkatan infrastruktur, pendidikan dan bencana di seluruh negara termasuk negeri ditadbir pembangkang.
Ia antara lain merangkumi peruntukan RM22.5 juta untuk pembinaan dan menaik taraf gerai penjaja; RM133.5 juta bagi Kelantan antaranya bagi menambah baik lapangan terbang dan RM14 juta bagi menaiktaraf Projek Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Wang Kelian di Perlis.
Bagi bencana banjir yang berlaku bulan lalu, kerajaan menyalurkan bantuan banjir sebanyak RM13 juta bagi Kedah; dan masing-masing RM25 juta bagi Kelantan dan Terengganu.
Bagi tahun hadapan, bantuan yang akan disalurkan kerajaan antaranya melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM13 bilion.
Jumlah itu menyaksikan peningkatan sebanyak RM3 bilion, berbanding RM10 bilion sebelum ini.




