2 tahun Kerajaan Madani: Politik makin stabil, Malaysia kembali diiktiraf negara kuasa besar

PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim bukanlah figura asing dalam politik Malaysia dan ketokohannya menerajui kepimpinan kerajaan persekutuan dalam tempoh dua tahun terbukti melakar landskap politik baharu dan memulihkan kepercayaan rakyat kepada prinsip demokrasi.

Kebijaksanaan Anwar, yang memimpin Pakatan Harapan (PH) berjaya meyakinkan Barisan Nasional (BN), parti politik Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk bersama-sama menyertai pembentukan Kerajaan Perpaduan, sekali gus membawa kestabilan dan meredakan suhu politik, serta melicinkan urusan pentadbiran Putrajaya.

Dalam usia yang masih bertatih, Kerajaan Perpaduan dengan konsep negara Madani telah melaksanakan pelbagai anjakan dan reformasi untuk memandu Malaysia ke landasan pengukuhan daripada pelbagai sudut terutamanya dalam kestabilan politik dan pembangunan sosial.

Bagi pemerhati hubungan antarabangsa dan politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Ashikin Yusof, kejayaan paling besar Kerajaan Madani dalam tempoh dua tahun ini merupakan kestabilan politik, yang disifatkannya sebagai ‘hadiah termahal’ kepada rakyat Malaysia.

Menurutnya, kestabilan politik Malaysia menjadi kunci utama kepada setiap dorongan kejayaan yang akan menyusul, khususnya dalam mempertahankan keharmonian bangsa negara pelbagai kaum yang semakin terhakis disebabkan kepentingan kotor yang dicipta selain kemampuan dalam mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa menerusi hubungan diplomatik bersama negara-negara kuasa besar.

“Politik yang goyang tidak mampu membolehkan sesebuah negara melaksanakan segala perancangan dengan jayanya namun Kerajaan Madani berjaya menangkis perkara itu apabila melaksanakan reformasi institusi demi mencapai hasrat mewujudkan pilihan raya yang bebas, adil dan telus, sekaligus meningkatkan penyertaan rakyat dalam proses politik.

“Inisiatif Harmoni Madani juga berhasil mengurangkan jurang antara pelbagai kumpulan etnik dan agama melalui dialog kebangsaan, pembangunan wilayah kurang maju, dan pengiktirafan budaya minoriti. Ia turut diperkuatkan dengan kempen anti-rasuah agresif, yang bukan sahaja meningkatkan kepercayaan rakyat tetapi juga membawa kepada penjimatan besar dalam belanjawan negara,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), hari ini.

Nur Ashikin menambah langkah berani Kerajaan Perpaduan yang melaksanakan rasionalisasi subsidi diesel sejak Jun lalu, membuktikan Perdana Menteri mengutamakan prestasi ekonomi jangka panjang tanpa bimbang kesan politik daripada rakyat terhadap keputusan tidak popular itu.

“Saya sifatkan Datuk Seri Anwar seorang yang sangat berani, menongkah arus dan berfikiran di luar kotak. Rasionalisasi subsidi ini sudah dibincangkan kerajaan-kerajaan sebelum ini sejak bertahun lamanya, namun tidak dilaksanakan kerana bimbang tanggapan negatif rakyat.

“Walaupun awalnya wujud tentangan pelbagai pihak, tetapi rakyat kini semakin faham dan sedar itu adalah tindakan terbaik. Tidak wajar membiarkan hasil titik peluh rakyat dinikmati golongan yang tidak sepatutnya terutama penyeludup dan warga asing yang mengambil kesempatan dan merugikan kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, Nur Ashikin memaklumkan, komitmen Perdana Menteri memperkukuh hubungan diplomasi mula membuahkan hasil apabila Malaysia kini mendapat pengiktirafan lebih baik di peringkat antarabangsa, hasil kerjasama strategik dengan kuasa besar seperti China, Rusia mahupun Amerika Syarikat (AS), tanpa mengenepikan hubungan sedia ada bersama rakan dagangan tradisional Malaysia termasuk Asean.

“Kerajaan Madani memainkan peranan utama dalam menamatkan konflik lama
yang sentiasa memastikan rundingan damai di selatan Thailand berterusan. Tindakan itu memulihkan hubungan diplomatik dan membuka peluang kerjasama ekonomi.

“Perjanjian perdagangan bebas dengan beberapa blok ekonomi utama telah menyebabkan peningkatan eksport sebanyak 35 peratus, memberi manfaat besar kepada sektor pertanian dan teknologi. Kerjasama dengan negara-negara maju turut membawa masuk pelaburan besar dalam bidang teknologi hijau dan pendidikan.

“Komitmen itu membolehkan kerajaan persekutuan membangunkan infrastruktur moden dan meningkatkan taraf hidup rakyat.  Kejayaan ini secara keseluruhannya mencerminkan kemajuan Kerajaan Madani dalam membawa kestabilan, kemakmuran, dan perpaduan kepada negara,” katanya.

Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, pula berpandangan Malaysia pada landasan tepat dan selesa daripada sudut pertumbuhan ekonomi dan keyakinan itu dicantikkan dengan misi reformasi ekonomi yang digariskan Kerajaan Madani.

Jelasnya, ketokohan Perdana Menteri berjaya mewujudkan keyakinan pelabur asing yang secara langsung memperkasa kepercayaan pelbagai pihak terhadap prospek ekonomi Malaysia selain memperkukuh hubungan perdagangan dengan beberapa blok ekonomi dunia.

“Asas ekonomi Malaysia sudah kembali kukuh, dengan prestasi ekonomi pada suku ketiga 2024. Malah, pelaburan asing secara langsung (FDI) mencatat rekod RM160 bilion dalam separuh pertama 2024.

“Datuk Seri Anwar juga merupakan sosok kepimpinan yang diterima baik di peringkat komuniti global. Jadi mudah untuk beliau menerajui kepimpinan Asean 2025 yang dilihat memberi galakan aktiviti pelaburan dan perdagangan antarabangsa, meskipun berhadapan dengan isu kepimpinan baru Amerika Syarikat yang berpegang pada dasar melindung,” katanya.

Related Posts

Rasionalisasi penyelarasan perbelanjaan kerajaan

SELARAS dengan keadaan semasa geopolitik dunia dan krisis di Asia Barat, Kerajaan MADANI berani mengambil pendekatan perlu dan kritikal iaitu menyelaraskan semula perbelanjaan kerajaan. Penyelarasan ini sebenarnya sederhana, tetapi sengaja…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Peniaga alami kerugian, kecewa Himpunan 1 Mei jadikan masjid tempat berkumpul

KUALA LUMPUR – Rata-rata peniaga dan penjaja di sekitar ibu negara kesal kerana perniagaan mereka terjejas susulan Himpunan 1 Mei yang diadakan, pada Sabtu. Ini kerana, kebiasaannya pada setiap hujung…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Rasionalisasi penyelarasan perbelanjaan kerajaan

Rasionalisasi penyelarasan perbelanjaan kerajaan

Peniaga alami kerugian, kecewa Himpunan 1 Mei jadikan masjid tempat berkumpul

Peniaga alami kerugian, kecewa Himpunan 1 Mei jadikan masjid tempat berkumpul

Kerajaan perkenal Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi untuk Sabah, Sarawak dan Labuan

Kerajaan perkenal Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi untuk Sabah, Sarawak dan Labuan

Perairan Perlis jadi habitat mamalia marin bertaraf antarabangsa

Perairan Perlis jadi habitat mamalia marin bertaraf antarabangsa

Empat sekolah di Kepala Batas rosak dibadai ribut

Empat sekolah di Kepala Batas rosak dibadai ribut

‘Suci sangatkah air mereka?’ – Shaiful Hazizy

‘Suci sangatkah air mereka?’ – Shaiful Hazizy