
GAZA – Beberapa peralatan utama seperti penjana elektrik, rangkaian oksigen, dan tangki air di Hospital Kamal Adwan di Beit Lahia, utara Semenanjung Gaza, dilaporkan musnah dan dikhuatiri boleh membahayakan nyawa pesakit susulan serangan berterusan rejim Israel semalam.
Pengarah hospital, Hussam Abu Safiya, menerusi sebuah video yang dimuat naik di media sosialnya, menggambarkan situasi tersebut sebagai ‘hari-hari kelam’ buat pesakit dan kakitangan hospital di sana, lapor Agensi WAFA.
Menurut Abu Safiya, tentera rejim Israel dengan sengaja memasang perangkap bom di jalan-jalan sekitar hospital dan menyasarkan unit rawatan rapi melalui penembak hendap dan pesawat dron quadcopter yang ditempatkan di bumbung bangunan berhampiran.
Tambahnya, bumbung hospital juga menjadi sasaran, menyebabkan kerosakan pada tangki air, manakala serangan yang menyasarkan penjana elektrik dan rangkaian oksigen telah mengakibatkan kerosakan besar.
Pengarah tersebut menjelaskan bahawa hospital itu menerima puluhan kecederaan setiap hari akibat serangan tentera Israel terhadap kediaman orang awam dan tempat himpunan orang ramai.
Beliau meluahkan rasa kesal atas kekurangan respons terhadap rayuannya sebelum ini untuk melindungi kemudahan kesihatan daripada serangan.
Abu Safiya mendedahkan bahawa terdapat 64 orang cedera dan enam kes dalam unit rawatan rapi, sambil menegaskan bahawa setiap serangan Israel memaksa kakitangan hospital memindahkan pesakit ke koridor, yang seterusnya mengancam nyawa mereka.
Dalam pada itu, lapan rakyat Palestin terbunuh dan tujuh lagi cedera pada Selasa akibat serangan udara Israel ke atas sebuah rumah yang menjadi tempat perlindungan keluarga yang dipindahkan di Beit Lahia, utara Gaza.

Sumber perubatan memberitahu bahawa mangsa telah dibawa ke Hospital Kamal Adwan selepas serangan yang menyasarkan sebuah rumah milik keluarga Battah berhampiran bangunan hospital itu.
Hospital Kamal Adwan menjadi talian hayat kritikal bagi rantau ini, menawarkan penjagaan terhad tetapi penting dalam menghadapi kekurangan bekalan perubatan, kakitangan dan elektrik yang berterusan.
Pesawat perang Israel mengebom rumah keluarga tersebut, yang menjadi tempat perlindungan bagi orang yang dipindahkan dari keluarga Ashkar dan Swaiti, kebanyakannya terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.
Menurut saksi, susulan serangan itu, kebakaran telah tercetus dan mengakibatkan beberapa penghuni yang dipindahkan mengalami kecederaan akibat terbakar.
Dalam kejadian berasingan di kawasan yang sama, pesawat perang Israel turut mengebom kawasan berhampiran Sekolah Al-Nazlah di barat Jabaliya, disusuli dengan tembakan intensif daripada kenderaan tentera Israel ke arah kawasan kejiranan Tel al-Zaatar di kem pelarian Jabaliya manakala helikopter Apache Israel juga dilaporkan menyasarkan kawasan utara Gaza dengan tembakan.


