
IPOH – Exco Pembanguan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed mengesahkan sebahagian daripada 55 kanak-kanak Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) di Perak sudah dituntut oleh ibu bapa dan waris masing-masing.
Jelasnya, segala tindakan yang dilakukan semuanya mengikut apa yang telah pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) lakukan seperti siasatan dan sebagainya.
“Setakat ini apa yang boleh saya kongsikan sebahagian daripada 55 kanak-kanak GISBH di Perak yang sebelum ini ditempatkan di rumah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah pun dituntut oleh pihak keluarga dan waris masing-masing.
“Di Perak hanya 55 kanak-kanak sahaja yang terlibat dan tiada jumlah penambahan.
“Jadi, apa juga tindakan yang kita lakukan semuanya mengikut yang telah pihak PDRM lakukan seperti siasatan dan sebagainya. Proses-proses itu masih berlaku. Ada kes yang telah ditutup dan ada juga yang masih dalam kes, itu sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan perasmian Program Sejahtera Warga Emas Peringkat Negeri Perak 2024 di Galasa Caldwell, di sini.
Hadir sama, Pengarah JKM Perak, Nor Tipah Majin dan Pengarah Seketariat Pembangunan Wanita Perak, Jamilah Zakaria.
Jelas Salbiah lagi, peranan JKM secara spesifiknya adalah melindungi kanak-kanak terbabit sepanjang siasatan dilakukan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.
Ahad lalu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri dilaporkan berkata, seramai 136 kanak-kanak GISBH yang masih belum dituntut keluarga, kini ditempatkan di sembilan institusi JKM seluruh negara.
Menurutnya, kanak-kanak yang masih di institusi JKM sudah dikenal pasti identiti dan dalam proses menunggu perintah interim untuk serahan keluarga mengikut Seksyen 30(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 atau Orang Layak Dan Sesuai (OYLS) mengikut Seksyen 30(1)(b) Akta Kanak-Kanak 2001.
Susulan itu, beliau menggesa ibu bapa kanak-kanak terbabit untuk tampil menuntut anak mereka kecuali jika keadaan betul-betul terdesak.



