
KERAJAAN Madani amat menghargai segala usaha yang disalurkan oleh pelbagai pihak termasuk pihak swasta bagi bersama-sama membantu mangsa-mangsa banjir di beberapa negeri yang terjejas.
Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin berkata, seiring dengan prinsip Ihsan Malaysia Madani, kerajaan juga menggalakkan mana-mana pihak untuk tampil membantu golongan yang ditimpa musibah banjir ini.
“Saya tentunya meraikan dan menghargai sumbangan semua pihak, syarikat korporat, individu, ‘influencer’ termasuk juga orang perseorangan yang membantu.
“Saya percaya dalam semangat kita nak membangunkan Malaysia Madani, inilah prinsip ihsan yang sudah pasti kita nak galakkan mana-mana kumpulan yang merasakan perlu untuk membantu agar mereka dapat turun.
“Bukan hanya kerajaan tetapi semua pihak bagi melebarkan perasaan ihsan serta kasih dan sayang ini. Saya percaya atas prinsip itulah kita harap ramai akan dapat dan saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada mereka yang turun padang tanpa ada sebarang gesaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Skuad Ihsan Madani Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Program ini merupakan anjuran bersama agensi di bawah Kementerian Komunikasi, Malaysia Resources Corporation Berhad (MRCB) dan Pejabat Perdana Menteri di Taman Pinggiran Felda Sungai Kelamah hari ini.
Shamsul turut menyampaikan bantuan pasca banjir kepada seramai 250 penduduk di kawasan berkenaan berbentuk keperluan asas dan makanan.
Turut sama hadir, Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa; Pengerusi SKM, Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal dan Naib Presiden Eksekutif MRCB, Datuk Dell Akhbar Khan.
Dalam pada itu, beliau berkata, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sembilan telah membuat persiapan awal bagi menghadapi bencana banjir dalam memastikan kebajikan penduduk terjamin termasuk pelajar yang mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Seperti mana yang kita tahu, penyelarasan banjir ini dibuat lebih awal seperti persiapan dan sebagainya. Dan bila kita sebut persiapan dari segi peruntukan telah pun kita disediakan dan disalurkan menerusi Nadma ini.
“Negeri Sembilan ada bantuan daripada kerajaan negeri dari sebelum ini lagi.
“Saya percaya telah diselaraskan kepada semua penerima 504 penerima di Tampin ini sahaja untuk sumbangan daripada Nadma, Kerajaan Negeri dan sumbangan khas bagi pelajar yang menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.






