
KOTA KINABALU – Program Media Connect Hi Tea anjuran Persatuan Penganjur dan Pembekal Persidangan dan Pameran Malaysia Sabah (MACEOS) bertujuan merapatkan jurang antara media dan industri perniagaan di Sabah.
Pengerusi MACEOS Sabah, Datuk Dr. Rosmawati Lasuki berkata, pihaknya berbesar hati dalam penganjuran program ini kerana menyedari kepentingan media dalam membentuk naratif dan meningkatkan impak industri perniagaan.
“Media memainkan peranan penting dalam mencipta persepsi positif dan membina hubungan strategik yang merentasi sempadan.
“Dengan sokongan media, kita mampu mengangkat Sabah sebagai destinasi utama untuk acara perniagaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Program Media Connect 2024 di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini pada Jumaat.
Rosmawati yang juga Ketua Pegawai Eksekutif SICC berkata, Sabah berpotensi besar untuk menjadi pusat perniagaan yang menghubungkan pelbagai industri dari serata dunia.
Tambah beliau, sehubungan itu, melalui program ini dapat membuka ruang penglibatan, kolaborasi dan pertumbuhan industri kecil di Sabah.
“Kami percaya melalui kerjasama media dan pemain industri, ia dapat meletakkan Sabah di peta dunia.
“Penglibatan media juga boleh disifatkan sebagai pemangkin dalam mempromosikan Sabah sebagai destinasi utama acara perniagaan,” katanya.


