
KOTA KINABALU – Seorang wanita meninggal dunia, manakala dua lelaki cedera dalam kemalangan kereta di hadapan bangunan Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi, Kepayan, di sini pada Rabu.
Ketua Operasi, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Kasran Denah berkata, kemalangan jalan raya itu membabitkan empat orang penumpang dalam dua buah kereta jenis Toyota Camry dan Perodua Myvi.
“Mayat wanita, pemandu kereta Toyota Camry, 46 tahun dikeluarkan oleh pasukan bomba dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Anak mangsa Nur Adelia Amanda Mohd Aizat, 9 tahun berjaya dikeluarkan dari kenderaan sama dalam keadaan selamat oleh orang awam.
“Manakala dua orang mangsa lelaki dalam kereta Perodua Myvi, berusia 20 dan 28 tahun mengalami kecederaan ringan kemudian dibawa ke hospital menaiki ambulans,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Kasran, pihaknya seramai lapan anggota bomba ke lokasi selepas menerima panggilan berkenaan kejadian pada pukul 5.21 pagi.
“Pasukan bomba tiba di lokasi sembilan minit selepas panggilan dalam jarak sembilan kilometer bersama dua buah jentera penyelamat.
“Kejadian dapat dikawal sepenuhnya pada pukul 6.03 pagi dan ditamatkan pada pukul 7.05 pagi selepas tiada lagi bahaya dan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut,” jelasnya.






