
GAZA – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyeru penghantaran bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza disegerakan susulan musim sejuk yang dijangka tiba, boleh menyebabkan keadaan kritikal kepada setengah juta rakyat Palestin.
“Dengan kedatangan musim sejuk, kira-kira 545,000 orang di Gaza tinggal di bangunan yang rosak dan tempat perlindungan sementara, di sana terdapat keperluan mendesak untuk memastikan beribu-ribu khemah canvas dan bahan pembaikan dapat dihantar ke Gaza dengan selamat tanpa kelewatan,” kata jurucakap PBB Stephane Dujarric semasa sidang akhbar, lapor Anadolu.
Memetik laporan Tabung Penduduk PBB (UNFPA), Dujarric turut melaporkan bahawa 50 trak yang membawa bekalan penting, termasuk selimut, generator, ubat-ubatan, dan peralatan pembedahan, telah tersekat di sempadan Mesir selama beberapa minggu.
Israel mengawal kemasukan semua barangan ke Semenanjung Gaza melalui penyeberangan Rafah di sempadan Palestin-Mesir.
“Kebanyakan trak ini telah ditunda selama lebih 50 hari namun PBB dan rakan kongsinya akan terus menyeru laluan selamat untuk bantuan kemanusiaan ke Gaza ketika penderitaan semakin mendalam di seluruh kawasan tersebut,” katanya.
Ketua Tabung Kanak-Kanak PBB (Unicef), Catherine Russell, berkata, hampir satu juta kanak-kanak di Gaza menghadapi musim sejuk lagi tanpa tempat perlindungan asas, makanan, air dan perlindungan.
“Penderitaan semua kanak-kanak yang terperangkap dalam mimpi ngeri ini mesti dihentikan sambil menekankan bahawa kanak-kanak memerlukan gencatan senjata. Sekarang,” tegasnya.
Israel telah melancarkan perang genosid ke atas Semenanjung Gaza selepas serangan rentas sempadan oleh kumpulan Palestin Hamas pada Oktober tahun lalu, yang telah mengorbankan lebih 44,400 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan lebih 105,000 orang.
Setakat 8 Disember, serangan kejam rejim Israel telah meragut nyawa 44,708 rakyat Palestin yang tidak berdosa dan mencederakan 106,050 yang lain, majoritinya terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.






