
SEMPORNA – Mayat seorang lelaki dilaporkan hilang selepas memancing ditemui tidak sempurna disyaki dibaham buaya di Kampung Sungai Pegagau, di sini pada Sabtu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Madzlan Sarman berkata, mayat mangsa ditemui orang awam kira-kira pukul 4.30 petang.
“Mangsa disahkan meninggal dunia dan operasi ditangguh pukul 6.31 petang dan operasi mencari sebahagian lagi anggota badan mangsa akan dilakukan pada Ahad,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Terdahulu, BBP Semporna menerima panggilan pada 4.43 petang berhubung kehilangan mangsa berumur 40 tahun di sungai semasa dalam perjalanan pulang.
“Menurut maklumat dari pemanggil, mangsa dalam perjalanan pulang dari memancing seorang diri menggunakan perahu pada Jumaat pukul 6 petang di Sg Pegagau dan tidak pulang,” katanya.





