PUTRAJAYA – Sebuah kapal kontena berlabuh tanpa kebenaran ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, semalam.
Kapal itu ditahan selepas didapati berlabuh di kedudukan kira-kira 29 batu nautika barat daya Tanjung Karang dekat Kuala Selangor, jam 1.40 petang.
Pengarah Maritim Malaysia Selangor, Kapten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, penahanan itu adalah hasil maklumat Area Control Centre (ACC) SWASLA Klang yang mengesan kapal dalam keadaan mencurigakan awal pagi Sabtu.
“Pihak Jabatan Laut Wilayah Tengah memaklumkan kapal kontena itu tidak mempunyai kebenaran bersauh daripada Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.
“Bertindak atas maklumat, bot ronda Maritim Malaysia diatur gerak ke lokasi seterusnya menahan kapal tersebut,” katanya. melalui kenyataan, hari ini.
Abdul Muhaimin memberitahu, ketika ditahan, kapal yang berdaftar di Panama itu membawa 20 kru lelaki bersama nakhoda.
“Semua mereka berusia antara 30 hingga 59 tahun, termasuk seorang warga China yang mempunyai dokumen pengenalan diri sah,” katanya lagi.
Beliau memaklumkan, pemeriksaan lanjut mendapati nakhoda kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh dan mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 491B (1) (l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
“Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.
“Perintah penahanan ke atas kapal itu telah dikeluarkan… nakhoda serta seorang kru kapal itu dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Malaysia Selangor untuk siasatan lanjut,” jelasnya.




