
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi memohon maaf kepada Jemaah Menteri hari ini kerana bertindak berang dan marah dengan kelewatan rangkaian 5G pertama Digital Nasional Berhad (DNB) dan MyDigital ID.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan Fahmi Fadzil berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan punca beliau bertindak ‘very out of character’ (luar daripada personaliti sebenar) adalah disebabkan oleh kelambatan kedua-dua inisiatif tersebut dalam bertindak.
“Beliau (PM) merasakan ‘very out of character’ dan puncanya adalah beliau merasakan bahawa kedua-dua iniasitif ini seharusnya bergerak dengan lebih pantas,” katanya ketika ketika Sidang Media Mingguan bersama Jurucakap Kerajaan Perpaduan di Kementerian Komunikasi pada Jumaat.
Mengulas lanjut mengenai Program MyDigital ID, setakat ini jumlah pendaftaran hanya mencecah 1.319 juta orang berdaftar dan jumlah ini masih lagi terendah berbanding keseluruhan penduduk Malaysia.
Jelasnya, PM telah memberi tempoh masa selama dua minggu kepada MyDigital ID untuk meningkatkan jumlah pengguna mencapai sasaran sepatutnya.
“Apa yang pada tanggapan PM kelewatan dalam melaksanakan program MyDigital ID dengan jumlah yang setakat 1 petang 5 Disember 2024, jumlah pendaftaran mencecah 1.319 juta orang, jadi PM rasa jumlah ini masih terlalu rendah, isu dengan MyDigital ID berkait langsung dengan keperluan untuk usaha ini dilipatgandakan.
“PM beri beri tempoh masa yang singkat dalam dua minggu daripada mesyuarat tempoh hari dan satu keputusan akan dibuat mengenai apakah yang perlu dilakukan untuk meningkatkan jumlah pengguna dan mereka yang telah mendaftar bagi sistem MyDigital ID,” katanya.



