
BEIRUT – Lima orang cedera dalam serangan udara Israel ke atas bandar Aitaroun di Gabenor Nabatieh, Lubnan, pada Khamis, ketika pasukan Israel terus melanggar perjanjian gencatan senjata yang ditandatangani dengan Beirut minggu lalu.
Menurut laporan Agensi Berita Nasional Lubnan (NNA), serangan tentera Israel di bandar Aitaroun, daerah Bint Jbeil, telah mencederakan lima orang, namun tahap kecederaan mereka tidak dinyatakan, lapor Anadolu.
Berdasarkan pengiraan berasaskan pengumuman dari agensi berita rasmi Lubnan, tentera Israel melanggar perjanjian gencatan senjata dengan Lubnan sebanyak lapan kali pada Khamis, menjadikan jumlah pelanggaran sejak perjanjian itu dikuatkuasakan lapan hari lalu kepada 137 kali.
Perjanjian tersebut, yang mula berkuat kuasa pada 27 November, bertujuan untuk menamatkan konflik selama 14 bulan antara tentera Israel dan Hizbullah, namun ia digambarkan sebagai rapuh kerana banyak pelanggaran telah direkodkan oleh pihak Lubnan.
Di bawah terma gencatan senjata, Israel dijangka menarik pasukannya ke selatan sempadan ‘de facto blue line’ secara berperingkat, manakala tentera Lubnan akan dikerahkan ke selatan Lubnan dalam tempoh maksimum 60 hari.
Pelaksanaan perjanjian ini akan diselia oleh Amerika Syarikat dan Perancis, tetapi butiran mengenai mekanisme penguatkuasaan masih tidak jelas.
Sejak Oktober 2023, lebih 4,000 orang terbunuh dan lebih 16,500 cedera akibat serangan Israel di Lubnan, dengan lebih daripada 1 juta orang kehilangan tempat tinggal, menurut pihak berkuasa kesihatan Lubnan.






