
KERAJAAN Selangor akan menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir selepas proses pemindahan ke kediaman masing-masing selesai.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya ketika ini hanya memberi fokus kepada operasi menyelamat dan kawalan keselamatan kepada mereka yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).
“Kita memang ada dana (mangsa banjir) RM500 dan dimaklumkan persekutuan akan beri RM1,000 kepada mangsa yang berpindah ke PPS.
“Setakat ini, jumlah mangsa banjir di PPS sudah berkurangan kepada 36 keluarga… apa yang penting memastikan operasi ketika banjir dapat dijalankan terutama proses menyelamat dan kawalan keselamatan.
“Bantuan akan disalurkan setelah isu banjir selesai dan mangsa pulang ke rumah. Kita akan semak senarai di PPS baru buat penyerahan kepada mangsa banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan penutupan Sidang Kemuncak Pendidikan Selangor (SES) 2024 di Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam, hari ini.
Amirudin berkata, Kerajaan Negeri juga bersedia membantu beberapa negeri terkesan banjir dengan menghantar sukarelawan bagi proses pembersihan.
“Buat masa ini, kita tumpu di Selangor dahulu tetapi perbincangan awal telah dibuat untuk bantu proses pembersihan lepas musim bah.
“Kita sedang bincang dengan sukarelawan dan akan bergerak ke sana, malah berhubung dengan Kementerian Belia dan Sukan untuk laksana bersama terutama di Kelantan, Terengganu dan Kedah yang kesan bah agak buruk,” katanya.
Sebanyak dua PPS dibuka di Selangor iaitu di Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai dan MPKJ Bukit Kapar yang menempatkan 487 mangsa dari 111 keluarga telah ditutup.







