
KUALA LUMPUR – Pengenalan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) perlu disertakan dengan peningkatan mutu kerja, komitmen dan dedikasi penjawat awam.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, berkata, SSPA yang memberi tumpuan kepada kebajikan dan kesejahteraan penjawat awam turut bertujuan mencetus lonjakan motivasi dalam meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan.
“Dengan sistem gaji progresif di bawah SSPA, beliau berharap agar tahap produktiviti juga mesti ditingkatkan.
“Tiada ruang untuk penjawat awam yang malas, culas dan cuai dan tiada lagi alasan untuk berada ditakuk yang lama, tanpa inovasi, perubahan dan pembaharuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.
Dalam pada itu, Shamsul Azri berkata, sepanjang bergelar KSN, pelbagai langkah penting telah dilaksanakan untuk meletakkan asas kukuh dalam reformasi perkhidmatan awam.
Jelasnya, pendekatan Associated menekankan penyertaan menyeluruh semua pihak (whole-of-nation) manakala pendekatan Integrated menekankan penyelarasan bersepadu (whole-of-government) antara kerajaan Persekutuan dan negeri.
“Pendekatan Associated (saling berkaitan) dan Integrated (bersepadu) yang menekankan kerjasama keseluruhan whole-of-government (keseluruhan kerajaan) dan whole-of-nation (keseluruhan negara) telah menyatukan usaha semua pihak.
“Gabungan itu memastikan setiap suara didengari dan dijadikan asas untuk memperkukuh penyampaian perkhidmatan. Pelaksanaannya sejajar dengan aspirasi Malaysia Madani. Pendekatan tersebut juga telah diterapkan secara berkesan sepanjang konvensyen ini.
“Simbolik kepada pendekatan ini ialah pemeteraian Deklarasi Kuala Lumpur: Tekad Bersama Perkhidmatan Awam Malaysia, yang melambangkan komitmen kukuh untuk melaksanakan reformasi secara menyeluruh dari peringkat tertinggi hingga ke akar umbi pentadbiran negeri,” katanya.








