
KUALA LUMPUR – Penggunaan dana swasta oleh kerajaan persekutuan bagi penjimatan kos perjalanan delegasi rasmi ke luar negara merupakan amalan wajar dalam memastikan urusan diplomatik dapat dilaksana secara holisitik, tanpa menjejaskan ‘wang rakyat’.
Pemerhati hubungan antarabangsa dan politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Ashikin Yusof berkata, syarikat swasta yang terlibat bersama Perdana Menteri ke lima buah negara baru-baru ini merupakan pemain tempatan yang berpotensi besar untuk menjadi pelabur di luar negara.
Menurutnya, syarikat swasta kebiasaannya mempunyai sumber dan kepakaran yang dapat menghasilkan hasil yang lebih baik pada kos lebih rendah yang dilihat akan memberi manfaat besar kepada Malaysia, khususnya dari sudut ekonomi.

“Kerajaan mempunyai Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta 2030 (PIKAS 2030) yang dilihat kerjasama antara dua pihak telah pun ada. Ini menunjukkan kerajaan sentiasa mencari jalan untuk tidak terlalu berharap kepada dana kerajaan kerana itu adalah duit rakyat kerana mereka pembayar cukai.
“Sektor swasta seringkali lebih cekap dalam menyediakan perkhidmatan dan infrastruktur berbanding kerajaan, terutamanya dalam bidang yang memerlukan teknologi tinggi atau pengurusan yang kompleks. Penglibatan itu secara tidak langsung akan memperkasa kualiti perkhidmatan dan infrastruktur di Malaysia,” katanya ketika dihubungi The Malaysia Press, hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab tuduhan pihak pembangkang yang tidak berpuas hati berhubung penajaan sektor swasta dalam siri lawatan rasmi kerajaan ke lima buah negara.
Anwar berkata, syarikat yang membantu membiayai kos perjalanannya adalah mereka yang mempunyai kepentingan perniagaan dan pelaburan di negara ini.
Sehubungan itu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menyenaraikan beberapa syarikat yang membiayai kos delegasi rasmi, antaranya Proton, Petronas, Sapura Energy, Top Glove dan syarikat-syarikat semi kondoktor.
Mengulas lanjut, Nur Ashikin berpandangan Kerajaan Madani telah melaksana perancangan lawatan itu dengan menjimatkan wang pembayar cukai yang mensyaratkan setiap syarikat
yang turut serta dibiayai sumber masing masing adalah langkah tepat.
Jelasnya, membawa delegasi besar dalam lawatan Perdana Menteri untuk mencari pelaburan atau memperkenalkan perniagaan tempatan di luar negara adalah lumrah yang telah lama dipraktikkan sejak dahulu lagi, selain diamalkan oleh negara-negara lain.
“Bagaimanapun, kerajaan yang ingin mahu melakukan penjimatan dana perlu memastikan syarikat yang melabur tidak mengorbankan kepetingan rakyat. Terdapat risiko bahawa sektor swasta mungkin lebih fokus pada keuntungan berbanding kebaikan dan kebajikan mereka semula kepada masyarakat.
“Secara keseluruhannya, penggunaan dana swasta untuk mengurangkan atau menjimatkan kos kerajaan adalah wajar jika ia dilaksanakan dengan berhati-hati, mengutamakan kepentingan awam, dan memastikan ketelusan serta akauntabiliti yang tinggi,” katanya.
Sebelum ini, Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil memaklumkan kerajaan berjaya menjimatkan hampir sejuta ringgit membabitkan kos penerbangan Perdana Menteri bersama delegasi rasmi dalam lawatan ke lima negara, baru-baru ini.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, kerajaan hanya menanggung RM1.662 juta, berbanding RM2.5 juta jika menggunakan pesawat rasmi sedia ada.






