GISBH: Kedah sependapat keputusan MKI, keluar fatwa bulan depan

ALOR SETAR – Kedah sependapat dengan pendirian Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang memutuskan ajaran, pegangan dan fahaman dibawa syarikat GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dan pengikutnya adalah sesat serta terkeluar daripada ajaran Islam.

Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang berkata, Jabatan Mufti Negeri Kedah dijangka mengeluarkan fatwa berkaitan GISB pada bulan depan selepas mengadakan satu lagi mesyuarat berkaitan selaras dengan ketetapan MKI.

Menurutnya, situasi di Kedah tidak seburuk seperti di beberapa negeri lain yang menyaksikan berlaku penangkapan pemimpin terlibat serta penutupan operasi GISBH.

“Di peringkat negeri (Kedah), kita telah pun dapatkan penjelasan daripada pelbagai pihak termasuk GISBH sendiri serta Cawangan Khas (SB) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kita belum mengeluarkan fatwa berkaitan ajaran ini, namun keputusan di peringkat MKI sudah cukup untuk kita ambil tindakan sewajarnya.

“Jabatan Mufti Kedah akan keluarkan fatwa berkenaan GISBH selepas adakan mesyuarat berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas majlis penganugerahan tauliah mengajar agama Islam negeri Kedah 2024 hari ini.

Syeikh Fadzil berkata, sebelum ini beliau telah mengadakan pertemuan bersama pemimpin atasan GISBH yang mengakui terdapat kesalahan dan penyelewengan berlaku dalam pertubuhan tersebut.

“Pertemuan itu berlaku sebelum saya hadir ke Muzakarah MKI bulan lalu. Dalam pertemuan itu, mereka setuju untuk dipanggil bagi ditunjukkan kesalahan-kesalahan yang didakwa dilakukan, selain bersedia membetulkan keadaan dan kesilapan.

“Selain itu mereka harapkan kerajaan janganlah melumpuhkan aktiviti ekonomi perniagaan mereka, dari segi kepercayaan, amalan, pegangan mereka bersedia untuk perbetulkan.

“Suara mereka itu turut saya sampaikan dalam muzakarah MKI. Muzakarah kemudiannya memutuskan ajaran GISBH masih terikat dengan Al-Arqam dari segi wirid, amalan serta beberapa kepercayaan lain dan keputusan itu diangkat ke Majlis Raja-Raja sebelum diumumkan,” katanya.

Pengerusi MKI, Datuk Dr Nooh Gadot pada Khamis mengumumkan keputusan Mesyuarat MKI Ke-125 pada 24 hingga 26 September lalu memutuskan ajaran yang dibawa Nasiruddin Mohd Ali daripada syarikat GISBH sebagai sesat kerana mempunyai ciri-ciri menyeleweng dari ajaran Islam.

Syeikh Fadzil berkata, meskipun Kedah belum mengeluarkan fatwa berkenaan isu tersebut, namun keputusan MKI sudah cukup untuk menjadi punca kuasa kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan.

“Di Kedah, kita dapati GISBH telah menutup pusat-pusat pengajian mereka sebaik isu itu diperkatakan ramai. Di sini, keadaannya tidaklah serius seperti negeri-negeri lain hingga melibatkan tangkapan dan pusat-pusat pengajian ditutup pihak berkuasa,” katanya.

Mengulas mengenai cadangan MKI agar agensi kerajaan berkaitan di peringkat Persekutuan dan negeri membantu melaksanakan proses istitabah (bertaubat), Syeikh Fadzil tegaskan, pihaknya bersedia bekerjasama melaksanakan perkara itu.

“Selama ini pun Jabatan Mufti Negeri Kedah telah mengambil tanggungjawab melaksanakan istitabah kepada golongan mualaf yang mahu berpatah balik ke agama asal mereka.

“Kita sudah ada pengalaman melaksanakan perkara itu. Sekiranya diminta lakukan istitabah, kita dalam keadaan siap sedia untuk laksanakannya,” katanya.

Related Posts

UMNO perlu hala tuju jangka panjang, perkasa pembangunan Melayu

KUALA LUMPUR – UMNO perlu memperkukuh peranan dan hala tujunya bagi tempoh dua dekad akan datang dengan memberi tumpuan kepada pembangunan holistik merangkumi aspek agama, politik, ilmu serta jati diri…

Lebih lanjut

teruskan membaca
SPRM panggil Rafizi bantu siasatan pelaburan RM1.1 bilion Isnin ini

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil Datuk Seri Rafizi Ramli bagi membantu siasatan berhubung projek pelaburan bernilai RM1.1 bilion yang dikaitkan dengan kerjasama industri semikonduktor antara Kementerian…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

UMNO perlu hala tuju jangka panjang, perkasa pembangunan Melayu

UMNO perlu hala tuju jangka panjang, perkasa pembangunan Melayu

SPRM panggil Rafizi bantu siasatan pelaburan RM1.1 bilion Isnin ini

SPRM panggil Rafizi bantu siasatan pelaburan RM1.1 bilion Isnin ini

RM1 juta suntikan segera PMKS Sabah, kerajaan negeri perluas SME-Up 2026

RM1 juta suntikan segera PMKS Sabah, kerajaan negeri perluas SME-Up 2026

Projek RM123 juta naik taraf laluan pedalaman Ngemah

Projek RM123 juta naik taraf laluan pedalaman Ngemah

Kaul Mukah wadah kukuhkan perpaduan, pemangkin pelancongan

Kaul Mukah wadah kukuhkan perpaduan, pemangkin pelancongan

UMNO perlu tangani keresahan Melayu, perbaiki keyakinan rakyat

UMNO perlu tangani keresahan Melayu, perbaiki keyakinan rakyat