KES demi kes rasuah dibongkar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekarang.
Pendedahan mengenainya menjadi menu yang cukup laris dalam media awam dan media sosial.
Di sebalik pendedahan itu timbul pula cakap-cakap nakal bahawa itu merupakan tanda buruknya pentadbiran Perdana Menteri Kesepuluh (PMX).
Seterusnya mereka mengecam PMX tanpa memandang kiri kanan; depan belakang; atas bawah.
Dikutuk mereka akan PMX dan Kerajaan Perpaduan, sebagai pentadbir negara yang gagal mengekang rasuah.
Tidak cukup dengan onar begitu, mereka mengheret Parti Tindakan Demokratik (DAP) ke kancah kebencian.
Turut dicerca, kesetiakawanan Presiden UMNO – Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi (DSDZH) – mempertahankan Kerajaan Perpaduan.
Dituduh mereka kononnya Presiden UMNO itu sudah tunduk kepada DAP dan tidak lagi membela Melayu.
Seterusnya mereka menggesa UMNO menyingkirkan DSDZH sekali gus menarik sokongan je atas PMX.
Kata suara-suara nakal itu lagi, dengan cara itu, rasuah dapat dibanteras dan Malaysia dapat diselamatkan .
Isunya sekarang, benarkah semua dakwaan itu?
Akal yang waras pasti menafikannya.
Memanglah akhir-akhir ini banyak terbongkar kes rasuah tetapi rata-ratanya berlaku pada zaman sebelum pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
Kerajaan sekarang membongkar kecurangan ‘silam’ itu atas dasar meninggikan akauntabiliti dan integriti.
Dalam isu Nafas, dan FashionValet, umpamanya, jelas masalah itu bukan berlaku pada zaman Kerajaan Perpaduan.
Siasatan dilakukan bagi memberi keadilan kepada semua pihak – negara tidak berterusan rugi, tetapi pihak yang disiasat tidak dihukum jika tidak bersalah.
Oleh sebab itu, tuduhan bahawa rasuah banyak berlaku pada zaman PMX sangat keterlaluan.
Kenyataan yang betul sepatutnya berbunyi begini: Pembasmian rasuah diperhebat pada zaman PMX.
Pun begitu, kalau pun ada kes rasuah pada zaman PMX, itu bukanlah tanda kegagalan selagi kes itu diperangi.
Selagi ada manusia, kejahatan tetap berlaku, namun usaha membanteras tidak terhenti.
Yang penting, PMX tidak seperti ‘orang-orang terdahulunya’ – menjadikan kuasa sebagai tongkat sakti untuk menyakau.
Menerusi sikap dan keperibadiannya, PMX mendidik jentera pentadbiran menjauhi amalan buruk tersebut.
Itulah yang sepatutnya kita syukuri dalam menilai kualiti kepimpinan seseorang pemimpin.
Itulah juga yang sepatutnya kita hadam agar tidak tertipu oleh kenakakan pihak yabg tidak bertanggungjawab.
Mudah-mudahan tulisan ini masuk ke seluruh urat nadi rakyat negara ini dengan sempurna.







