
CARA soldadu maya pembangkang berpolitik kini merudum ke tahap yang sangat teruk.
Ini bukan tuduhan tetapi terpapar melalui tindak-tanduk mereka sendiri.
Ya, nampak sangat mereka bankrap idea sehingga hal yang sekecil zarah pun mahu dijadikan isu besar.
Kata seorang penceramah pujaan mereka; “Berat nnanang lagu ning (teruk jika inilah keadaannya”*.
Apa-apa sahaja hal yang berkaitan Kerajaan Perpaduan terutama urusan Perdana Menteri (PM) cuba dipusingkan faktanya.
Tidak dipedulikan mereka, hal itu logik atau tidak, bersandarkan ilmu pengetahuan atau tidak, yang penting, memfitnah dahulu.
Contoh yang jelas ada dan keadaan itu berlaku lagi sehari dua yang lalu.
Melalui beberapa video TikTok, tersebar kononnya sidang media PM kita di China tidak mendapat sambutan.
Alasan mereka, dalam satu sesi media di China hanya ada dua mikrofon agensi media terpasang depan PM.
Kata mereka, kunjungan PM kita tidak dilihat penting oleh dunia luar.
Dengan bahasa mudah, mereka mahu kata, PM kita ini tidak penting pun dan negara luar tak layan pun.
Mereka cukup seronok bergosip dan mengumpat perkara itu.
Di celah-celah umpatan itu terbancuhlah sekali hal-hal lain sehingga terkait sama Parti Tindakan Demokratik (DAP).
Sampai pada satu tahap diletakkan mereka PM kita di tempat yang sangat hina.
Bagi yang dapat berfikir dengan waras, itu sungguh tidak terjangka – orang Islam mencerca saudara seagama sehina itu.
Sebagai seorang yang pernah berada dalam dunia kewartawanan melebihi 15 tahun, isu itu mudah dipatahkan.
Gambar yang mereka tularkan itu merupakan sidang media tertutup.
Sidang itu hanya melibatkan agensi media negara kita iaitu setelah selesai sidang media bersama yang melibatkan liputan media asing.
Sidang itu juga biasanya dilakukan kepada media negara pada penghujung lawatan ke sesebuah negara ketika masih berada di negara itu.
Dalam hal sedang media peringkat antarabangsa, ada tidak kurang tiga jenis pelaksanaannya.
Satu sudah dijelaskan. Apa lagi dua jenis sidang media itu?
Pertama; itu sidang media penuh (umum) iaitu yang juga melibatkan wartawan negara lain dan hanya dilakukan oleh tokoh (pemimpin atau aktivis bidang tertentu) dari sesebuah negara.
Kedua; dinamakan itu sidang media bersama, iaitu yang melibatkan media terpilih kedua-dua negara dan tokoh yang memberi input itu tokoh kedua-dua negara.
Dalam keadaan buta pengetahuan, soldadu siber pembangkang ini cuba berlagak pandai; cuba menipu pengikutnya.
Malangnya itu ditelan bulat-bulat oleh penyokong.
Lebih malang, mereka menyebarkan pembodohan itu seluas-luasnya.
Seronok betul mereka berbuat demikian, kononnya itulah perjuangan membela Islam.
Allahurabbi, semakin jauh mereka menyeleweng!
Punah adab, rosak ilmu, dan tercalar kesucian Islam angkara hal sebegini.
Tuan-tuan dan puan-puan, mahukah itu kita terima sebagai ajaran Islam?


