
KOTA KINABALU – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah bersedia meneroka ruang kerjasama dalam usaha memperkukuhkan Kerajaan Madani bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah yang dijangka akan dilaksanakan tahun hadapan.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, pihaknya mengalu-alukan cadangan Jawatankuasa Rundingan kerusi PRN17 yang diutarakan oleh Ketua Menteri Sabah baru-baru ini bagi mengukuhkan kerjasama baik dan kestabilan politik sedia ada.
“Pihak Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mengadakan perbincangan tidak rasmi kelmarin bagi meneliti titik-titik pertemuan dan menghormati perbezaan pandangan dalam menentukan hala tuju politik Sabah yang memerlukan pendekatan berbeza dari konteks Semenanjung.
“Untuk menghadapi PRN17, PH sudah membentuk Jawatankuasa Rundingan Kerusi dan mengadakan beberapa siri mesyuarat, dan PH Sabah akan menyelesaikan terlebih dahulu perbincangan serta rundingan dalaman sebelum memulakan rundingan kerjasama dengan mana-mana parti atau gabungan.
“Dalam proses rundingan itu PKR akan menekankan agar pendekatan inklusif dapat dilaksanakan secara adil serta perbincangan juga meliputi pembahagian adun dilantik, kuota pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah GLC, jawatan-jawatan di peringkat DUN, kampung dan komuniti,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook rasmi beliau itu pada Rabu.
Tambahnya, PKR juga ingin menegaskan bahawa prinsip asas kerjasama ini perlu didasari oleh pengurusan tata kelola yang baik ‘i.e Good Governance’ dan meletakkan kepentingan serta kebajikan rakyat diutamakan.








