
RATA-RATA masyarakat gusar dengan kenaikan harga barangan di pasaran beberapa tahun kebelakangan ini berbanding beberapa tahun terdahulu.
Hasil tinjauan The Malaysia Press (TMP) mendapatkan respon beberapa orang yang berharap agar pihak kerajaan dapat memantau dan mengawal harga barang.
Seorang pengusaha bakeri, Farra Wahedda Baharol, 26 yang telah berniaga selama dua tahun itu berkata, jika dibandingkan kos pengeluaran ketika awal perniagaannya, kini berlaku kenaikan harga kos bahan mentah yang melonjak tinggi.
Farra berkata, antara bahan asas yang mengalami peningkatan adalah majerin dan cokelat.
“Kalau boleh saya sebutkan contohnya membeli beberapa gram ‘butter’ kalau dulu dalam anggaran RM100 ke atas dan sekarang untuk kuantiti yang sama sehingga RM240.
“Untuk kami sebagai ‘bakers’ pula menghadapi krisis koko, dimana harganya juga naik secara mendadak. Manakala beberapa jenis coklat juga naik harga, jika dulu satu kilogram (KG) cokelat boleh dapat harga RM10 tetapi sekarang RM19,” katanya kepada The Malaysia Press.

Dalam pada itu, dia berkata, kebanyakan peniaga terpaksa menaikkan harga berikutan kos operasi dan kos jualan tidak lagi mampu mengekalkan harga yang rendah.
Tambahnya, meskipun harga jualan terpaksa dinaikkan, pelanggan-pelanggan memahami situasi berkenaan dan sentiasa melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa.
“Ada di antara peniaga memang tak boleh menggunakan harga yang sama, kalau perasan di pasaran harga seketul kuih itu bukanlah murah kerana kos bahan mentah sangat tinggi.
“Peniaga juga perlu beradaptasi dengan harga tersebut kerana tidak senang untuk menjual dengan harga murah dan pembeli pun tak boleh beli dengan harga seperti dahulu lagi.
“Sekarang ini, kalau dikatakan bagaimana hendak bertahan, cuma harga perlu dinaikkan dan untuk selamat dalam industri perlu sentiasa segar dengan idea-idea pemasaran dan promosi yang bagus serta ‘improve’ dari segi saiz dan kualiti. Jadi pelanggan pun akan lebih memahami situasi tersebut,” katanya.
Sementara itu, seorang ketua isi rumah, Mohammad Redzuan Bahara, 41 berkata, peningkatan harga barangan mentah menyebabkan kos perbelanjaan bertambah 50 peratus.
“Harga barang semakin meningkat dan perbelanjaan dapur di rumah juga naik dari kebiasaan. Ia juga memberi dugaan dan cabaran yang tinggi buat saya sebagai ketua keluarga.
“Dahulu, saya keluarkan belanja sebanyak RM400 ke RM500 dalam dua minggu dan sebulan hampir RM1000 dan sekarang ini, akan jadi RM1400 ke RM1500 dimana belanja naik hampir 50 peratus juga.

“Nak potong perbelanjaan tidak boleh sebab memang keperluan belanja asas di rumah, jadi saya perlu mencari pendapatan tambahan untuk menampung belanja,” katanya.
Dia juga turut mencadangkan agar kerajaan menyemak semula harga barangan di pasaran dan mengkaji punca kenaikan barang dari pengeluar hingga pembeli.
“Jika harga barang boleh dikawal, InsyaAllah harga barang tidak turun tetapi akan stabil,” katanya.







