SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini memberi tumpuan kepada usaha membanteras rasuah dengan lebih bersifat sistemik, termasuk ketirisan perolehan serta penyalahgunaan kuasa berskala besar.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, fokus utama agensi itu ketika ini adalah terhadap kes berprofil tinggi, membabitkan kehilangan ratusan juta ringgit dan bukannya kes rasuah kecil yang boleh ditangani jabatan lain.
Menurut beliau, pendekatan itu dilaksanakan bagi memastikan SPRM kekal relevan serta mampu memberi impak lebih besar dalam menangani ketirisan dana awam.
“Saya dah ingatkan banyak kali kepada pegawai saya tidak perlu kita fikirkan perkara yang titik bingit fokus. Kalau fokus kita tentang ketirisan, fokus pada ketirisan dan kes besar-besar. Kes tepi-tepi jalan biarlah jabatan lain ambil tindakan.
“Sebab itu tidak banyak berita pegawai SPRM tangkap rasuah RM10 atau RM20 di tepi jalan kerana kita perlu fokus kepada kehilangan yang melibatkan ratusan juta ringgit,” katanya menerusi podcast eksklusif yang disiarkan di platform YouTube SPRM Malaysia, pada Isnin.
Tambahnya, langkah itu juga antara strategi yang dipromosikan di bawah pentadbirannya bagi memastikan tindakan penguatkuasaan lebih berfokus dan berkesan.
Azam berkata, antara keutamaan SPRM juga adalah usaha mengembalikan semula aset serta wang yang diseleweng daripada rakyat menerusi tindakan undang-undang.
“Kalau sudah dicuri daripada rakyat, kita ambil balik dengan cara undang-undang dan kuasa yang ada,” katanya.
Menurut beliau, kepercayaan masyarakat terhadap SPRM sehingga agensi itu diberi amanah mengetuai pelbagai pasukan petugas khas membuktikan SPRM masih relevan dan diyakini.
“Saya bersyukur kepada Allah SWT kerana masyarakat masih percaya kepada SPRM. Itu petanda yang baik,” ujarnya.







