KUANTAN – Penubuhan sekolah politik UMNO seperti diumumkan Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam, perlu dibuat secara teliti.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, satu perbincangan lebih lanjut akan diadakan dalam masa terdekat bagi merealisasikan hasrat pemimpin utama parti itu.
“Sekolah politik ini bukan satu perkara yang boleh diambil mudah… jadi, kita nak tengok silibus dia, modulnya macam mana dan kumpulan sasar itu siapa.
“Saya akan mengadakan perbincangan lanjut dan dalam terdekat, saya akan panggil dan kita akan melihat perkara ini perlu banyak perbincangan,” katanya ketika ditemui media selepas majlis pelancaran Bantuan Prihatin Pahang 2024 kepada masjid, surau kebenaran Jumaat, pelajar tahfiz dan mualaf di sini, hari ini.
Semalam, Ahmad Zahid ketika merasmikan Konvensyen Barisan Nasional (BN) Pahang di Temerloh, memaklumkan BN akan menubuhkan sekolah politik di bawah Majlis Latihan dan Penkaderan UMNO bagi melatih pemimpin pelapis yang berpotensi diketengahkan sebagai bakal calon dalam pilihan raya umum (PRU).
Katanya, melalui sekolah politik itu, mereka yang dikenal pasti dan terpilih akan diberi latihan secara teori dan amali kepimpinan.
Bagaimanapun, Wan Rosdy menjelaskan mereka yang dipilih ke sekolah politik itu tidak semestinya akan menjadi calon dalam PRU.
“…. pelapis-pelapis la kita panggil dan dalam pelapis ini, mungkin ada (yang akan jadi) calon… yang (ini) kita sendiri pun tak tahu,” katanya.



