
GAZA – Sekurang-kurangnya 150 rakyat Palestin terkorban dan cedera, termasuk wanita dan kanak-kanak, pada Khamis, dalam serangan udara Israel yang menyasarkan kira-kira 10 buah rumah di Jabalia, utara Gaza, di mana pengepungan bermula 20 hari lalu.
Menurut pihak berkuasa kesihatan Palestin, angka kematian di Palestin telah meningkat kepada 42,847 orang, 100,544 yang lain cedera, majoritinya terdiri daripada wanita dan kanak-kanak, lapor Anadolu.
Media antarabangsa menyifatkan serangan rejim Israel di Jabalia seperti ‘mandi darah’ apabila satu pembunuhan beramai-ramai yang mengerikan berlaku dengan lebih 150 orang syahid dan cedera akibat serangan tersebut.
“Tiada siapa yang bergerak untuk menyelamatkan mereka,” kata pertahanan awam Gaza dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu menambah bahawa tentera Israel menyasarkan rumah milik keluarga Najjar, Abu Al-Ouf, Salman, Hijazi, Abu Al-Qumsan, Aqel Abu Rasyid, Abu Al-Tarabish, Zaqoul, dan Shaalan.
“Pasukan rejim Israel mengebom seluruh blok kediaman di kawasan itu, dan rakyat meminta bantuan untuk mengangkut mereka yang tercedera dengan segera.
“Penduduk menghadapi kesukaran yang melampau untuk memindahkan mangsa yang mati dan cedera selepas tentera Israel mengganggu operasi pertahanan awam dan perkhidmatan perubatan di bahagian utara Gaza,” kata kenyataan it.
Tentera Israel mengepung di utara kira-kira tiga minggu lalu, menyerang dari udara dan darat, sekitar hospital dan tempat perlindungan pelarian, serta mengarahkan penduduk menuju ke selatan.
Hospital yang berada di wilayah Jabalia itu hanya menunggu masa untuk ‘lumpuh’ sahaja apabila kebanyakan bekalan keperluan asas seperti makanan, minuman, ubat-ubatan dan bahan api sudah berada di paras bahaya dan habis untuk digunakan.
Peristiwa tragis ini menandakan satu lagi babak dalam kempen pembersihan etnik dan pembunuhan beramai-ramai Israel yang berterusan di rantau itu yang telah berlangsung selama tiga minggu.







