PUTRAJAYA – Sesi libat urus membabitkan pelabur terutama dalam kalangan syarikat multinasional yang meraih tender kerajaan atau swasta di negara ini perlu dipergiat dalam usaha menggalakkan pembelian dan penggunaan bahan tempatan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, setakat ini Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memainkan peranan itu dengan baik, khususnya bagi menyokong Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) terus berdaya saing.
“Dasar yang memberi keutamaan kepada produk dan pemain industri tempatan sememangnya sudah ada… dasar perolehan negara untuk projek kerajaan.
“Malah, MITI sekarang turut memainkan peranan itu dan kita akan mempergiatkan lagi usaha supaya pemain industri tempatan dalam semua bidang termasuk sektor perkhidmatan dapat dilibatkan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri ‘Pan-Pacific Economic Forum Malaysia 2024’ di Hotel Pavilion di sini, malam tadi.
Dalam ucapan perbahasan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat semalam, bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menggesa kerajaan mewajibkan pelabur dan kontraktor asing yang menang tender kerajaan serta swasta di Malaysia membeli bekalan atau bahan mentah daripada PKS tempatan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, Indonesia sudah mewajibkan pelabur dan kontraktor asing membuat pembelian sekurang-kurangnya 70 peratus produk tempatan.
Bagaimanapun, Guan Eng mencadangkan kadar lebih rendah iaitu 50 peratus, dengan pengecualian hanya jika barangan tersebut tidak tersedia secara tempatan.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, walaupun kerajaan tidak mewajibkan pembelian bahan tempatan, kesedaran dalam kalangan pelabur luar dilihat semakin memberangsangkan.
“Dalam pelaburan, kita tidak boleh letakkan syarat sebegitu (wajibkan pembelian barangan tempatan) kerana ini mungkin menyebabkan mereka takkan melabur ke Malaysia, kerana (pendekatan) ini dilihat sebagai satu sekatan.
“Bagaimanapun, saya kira minat mereka (ada), bahkan dari segi ekonomi, tentunya pembelian barangan tempatan lebih mudah dan kompetitif,” katanya.






