
TAWAU – Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Sabah terus memperhebat inisiatif bersemuka di instituti pendidikan dengan dengan penyampaian mesej berkenaan internet selamat dan buli.
Pengarahnya, Jainisah Mohd Noor berkata, usaha itu dilaksanakan menerusi pelaksanaan Program Pentarama Homecoming dan Pentarama X Kelab Malaysiaku.
“Pelaksanaan program ini juga merupakan salah satu medium bagi menyampaikan dasar kerajaan serta meningkatkan kesedaran pelajar terhadap cabaran semasa khususnya dalam era digital.
“Kita juga bekerjasama dengan rakan strategik termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Kementerian Pendidikan serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi memberi pendedahan menyeluruh kepada pelajar,” katanya kepada media pada Program Pentatama Homecoming dan Pentarama X Kelab Malaysiaku di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tawau, di sini, pada Khamis.
Menurut Jainisah, JaPen menerima sambutan menggalakkan dan permohonan melaksanakan program sama khususnya di sekolah kawasan pedalaman yang mempunyai Kelab Malaysiaku.
“Setakat ini program seumpamanya telah dilaksanakan di enam daerah termasuk Keningau, Nabawan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau dengan sasaran 40 sekolah tahun ini.
“Ketika ini terdapat 94 Kelab Malaysiaku di seluruh Sabah dan kita akan melaksanakan program ini secara berperingkat,” jelasnya.





