
KOTA KINABALU – Berasal daripada keluarga petani di Tenom dan dibesarkan dalam kehidupan serba sederhana tidak menghalang tiga beradik mencipta kejayaan apabila berjaya menggenggam Ijazah Doktor Falsafah (PhD), pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) Ke-28, pada Sabtu.
Kejayaan itu dicapai Wong Vui Kiong, 32, bersama dua adik kembarnya, Wong Vui Ken dan Wong Vui Chuen, masing-masing berusia 30 tahun, yang menerima ijazah pada majlis konvokesyen yang sama.
Lebih membanggakan, kejayaan itu dicapai hasil usaha sendiri apabila mereka turut membiayai yuran pengajian menggunakan pendapatan sebagai tutor sambilan di fakulti sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi.
Kiong berkata, kejayaan menamatkan pengajian bersama dua adiknya itu merupakan sesuatu yang cukup menggembirakan meskipun mereka tidak merancang untuk bergraduasi pada hari yang sama.
“Tidak sengaja merancang begitu, tetapi apabila tiba hari graduasi, kami sedar rupanya kami bertiga bergraduasi bersama-sama.
“Sudah tentu kami sangat gembira dan teruja, apatah lagi dapat membanggakan ibu bapa,” katanya ketika ditemui media pada majlis berkenaan.
Menurutnya, mereka dibesarkan dalam keluarga B40 di Tenom dengan bapa bekerja sebagai petani manakala ibu merupakan suri rumah sepenuh masa.
Katanya, sokongan ibu bapa serta abang-abang menjadi antara kekuatan utama mereka untuk meneruskan pengajian meskipun berdepan kekangan kewangan keluarga.
“Bapa kami petani dan mama suri rumah. Kami datang daripada keluarga B40, jadi kami sangat bersyukur dan berterima kasih kepada ibu bapa serta abang-abang yang menyokong kami untuk meneruskan pengajian,” kongsinya.
Mengulas kos pengajian PhD, Kiong berkata, ketiga-tiga mereka membelanjakan kira-kira RM10,000 seorang atau sekitar RM30,000 secara keseluruhan.
Bagaimanapun, katanya, mereka tidak bergantung sepenuhnya kepada keluarga kerana masing-masing memperoleh pendapatan sendiri sebagai tutor sambilan di fakulti sebelum memulakan pengajian PhD.
“Sebelum mendaftar PhD, kami sudah mendapat tawaran sebagai tutor sambilan di fakulti. Jadi, kami memperoleh pendapatan sendiri dan membayar yuran pengajian masing-masing.
“Jika wang tidak mencukupi, barulah kami meminta bantuan ibu bapa. Selebihnya, kami menyara pengajian sendiri kerana keluarga juga mempunyai kesukaran kewangan,” katanya.
Dalam pada itu, Ken berkata, kejayaan akademik itu bukan sekadar pencapaian peribadi, sebaliknya menjadi peluang untuk menyumbang semula kepada masyarakat khususnya golongan petani di kampung halaman mereka.
Katanya, beliau berhasrat menggunakan kemahiran dan pengetahuan yang diperoleh sepanjang pengajian untuk membangunkan kursus yang dapat membantu petani di Tenom mengurus serta merekod aktiviti pertanian dengan lebih sistematik.
“Sebenarnya, dalam hati saya mahu membawa perubahan daripada bidang pertanian kepada pendidikan. Saya mahu menggunakan kemahiran yang dipelajari sepanjang PhD untuk mereka bentuk kursus yang boleh membantu petani di Tenom.
“Dengan cara itu, mereka boleh merekodkan aktiviti penanaman dengan lebih konsisten, mengurus tanaman dan seterusnya menjual hasil pertanian bagi memperoleh pendapatan yang mencukupi.
“Itulah cara saya mahu menyumbang kembali kepada kampung halaman sendiri, khususnya masyarakat di Tenom,” katanya.
Beliau turut berharap ilmu yang diperoleh dapat dimanfaatkan untuk membantu meningkatkan pengurusan serta pendapatan komuniti petani di Kampung Naluyan, Tenom.
Tambah Kiong lagi, kejayaan mereka menjadi individu pertama dalam keluarga yang melanjutkan pengajian sehingga peringkat PhD turut membawa perubahan kepada kehidupan keluarga.
Jelasnya, pencapaian itu membolehkan mereka memperoleh pendapatan sendiri dan membantu menyokong keperluan keluarga dari semasa ke semasa.
“Kami merupakan orang pertama dalam keluarga, termasuk adik-beradik, yang melanjutkan pengajian sehingga PhD.
“Saya rasa banyak perubahan berlaku kerana sekarang kami boleh memperoleh pendapatan sendiri dan kadangkala setiap bulan kami turut memberikan sedikit bantuan kepada keluarga,” katanya.
Mengulas pengalaman sepanjang pengajian, beliau berkata, proses menamatkan PhD bukan sesuatu yang mudah, namun pengalaman itu banyak membentuk keyakinan diri terutama dalam berkomunikasi dan bercakap di hadapan khalayak.
“Pada awalnya saya sangat gembira apabila mula mengikuti pengajian PhD, tetapi sepanjang proses itu ada juga rasa panik.
“Bagaimanapun, secara keseluruhannya, saya menjadi lebih yakin dan lebih berani bercakap di hadapan orang ramai. Dahulu saya seorang yang pemalu dan sukar bercakap, tetapi sekarang sudah semakin baik walaupun masih berasa gementar,” katanya.
Mengulas perancangan selepas bergraduasi, ketiga-tiga mereka berhasrat meneruskan kerjaya dalam bidang akademik dan telah mengemukakan permohonan untuk berkhidmat sebagai pensyarah di universiti.
Kata Kiong, sekiranya tiada kekosongan di universiti berkenaan, mereka akan mempertimbangkan peluang di universiti lain termasuk institusi pengajian tinggi swasta, namun tetap mahu kekal dalam bidang pendidikan.



