
KOTA KINABALU – Kerajaan Negeri Sabah sedang berusaha memastikan bekalan elektrik di kawasan Pantai Timur negeri itu kembali pulih seperti sediakala susulan gangguan bekalan akibat insiden menara penghantaran elektrik tumbang, baru-baru ini.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pihak Sabah Electricity (SE) kini bertungkus-lumus menyelesaikan masalah berkenaan, termasuk menyambung semula bekalan elektrik secara normal ke kawasan terjejas.
Menurutnya, kerja pembaikan menara berkenaan dijangka siap dalam tempoh enam hari, manakala bekalan elektrik ketika ini disalurkan menggunakan sumber rizab lain.
“Jadi sekarang mereka menggunakan reserve yang lain dan keadaan saya tengok, saya dimaklumkan, bertambah baik.
“Mungkin ada sedikit-sedikit sana yang kekurangan bekalan, tetapi pihak Sabah Electricity akan cuba menyelesaikan sebaik mungkin untuk rakyat kita di sebelah Pantai Timur Sabah,” katanya ketikaditemui media selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) kali ke-28 (Sidang dua), di Dewan Canselor, di sini, pada Sabtu.

Beliau berkata, penggunaan set penjana (generator set) dan sumber alternatif lain ketika ini membolehkan bekalan elektrik disalurkan kepada penduduk di kawasan terjejas.
“Jadi mereka sudah dapat bekalan. Bukan semua tidak dapat, mungkin ada sesetengah tempat sahaja yang tidak dapat,” katanya.
Hajiji berkata, menara penghantaran yang tumbang itu berpunca daripada bencana alam dan bukannya disebabkan sesuatu perkara yang disengajakan.
“Ini untuk makluman, tower ini (tumbang) akibat bencana alam, bukan kerana sesuatu perkara yang disengajakan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, kerajaan negeri melalui Suruhanjaya Tenaga telah meluluskan hampir 3,000 megawatt (MW) kapasiti penjanaan tenaga bagi memenuhi keperluan bekalan elektrik Sabah dalam jangka panjang.
Katanya, kapasiti berkenaan merangkumi pelbagai sumber tenaga termasuk mini hidro, hidro, solar dan turbin angin.
“Jadi dalam jangka masa dua tahun dari sekarang ini, mungkin tambahan lebih kurang 1,000 lebih megawatt akan dapat disiapkan, manakala selebihnya itu akan siap menjelang tahun 2030,” jelasnya.
Mengulas keadaan yang dihadapi penduduk di Pantai Timur, Hajiji berkata, kerajaan negeri amat dukacita berikutan gangguan bekalan elektrik berkenaan.
“Kita amat dukacita jugalah dengan keadaan di mana rakyat kita di sebelah Pantai Timur menghadapi putusnya bekalan tenaga elektrik ini.
“Tetapi percayalah, kita sedaya upaya akan mengusahakan untuk memulihkan tenaga ini kembali seperti sediakala,” katanya.
Beliau turut berharap rakyat memahami keadaan semasa dan memberi ruang kepada pihak Sabah Electricity melaksanakan usaha pemulihan bekalan elektrik di kawasan terjejas.
“Jadi saya harap rakyat kita faham, insya-Allah kita akan selesaikan dalam masa enam hari dari sekarang seperti biasa,” katanya.



